fbpx

[KEMASKINI] Bau busuk rungkai penemuan mayat lelaki diculik, dibunuh kenalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SUBANG JAYA – Bau busuk dalam sebuah kereta di Batu 14, Puchong, di sini awal pagi semalam, merungkai penemuan mayat seorang lelaki tempatan dipercayai dibunuh kenalannya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan sebuah kereta dalam keadaan berkunci di tepi jalan dan berbau seperti mayat pada pukul 12.55 tengah malam, semalam.

Katanya, siasatan mendapati mangsa berusia 25 tahun ditemui terbaring di tempat duduk belakang kereta.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, didapati ada mayat lelaki terbaring di tempat duduk belakang kereta dan bertutup dengan sehelai jaket.

“Pasukan forensik turut hadir ke tempat kejadian untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Wan Azlan, ekoran kejadian itu pihaknya menahan empat lelaki bagi membantu siasatan sekitar pukul 2 petang, semalam.

“Kesemua tangkapan berusia dalam lingkungan 27 hingga 33 tahun dan semakan mendapati mereka mempunyai rekod lampau. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut supaya tampil memberikan kerjasama kepada pihak polis melalui nombor telefon 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah, Subang Jaya) atau pegawai penyiasat iaitu Asisten Superintendan Che Rosli Che Embong di talian 016-8437878. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI