fbpx

Bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Abdullah Fadzil meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid turut hadir bagi menunaikan solat jenazah Allahyarham di Masjid Sungai Ramal Luar, Kajang, hari ini.

PETALING JAYA – Bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Abdullah Fadzil Che Wan meninggal dunia pada kira-kira 3 pagi tadi di sebuah hospital swasta di Kajang, Selangor.

Menurut satu kenyataan oleh Pejabat Orang Besar Jajahan Kinta hari ini, Abdullah Fadzil menghembuskan nafas terakhir pada usia 78 tahun kira-kira pukul 3 pagi di Hospital KPJ Tawakkal, Kuala Lumpur.

“Jenazah dimaklumkan akan dimandikan dan disolatkan di Masjid Sungai Ramal, Kajang.

“Pada pukul 2 petang dijangka jenazah akan di kebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Panglima Kinta, Ipoh,” katanya.

Allahyarham yang juga Orang Besar Jajahan Kinta dan bekas Timbalan Menteri Luar, sebelum ini terlantar kira-kira lima tahun akibat penyakit alzheimer.

Allahyarham Abdullah Fadzil.

Abdullah Fadzil pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Luar pada 1987 dan Timbalan Menteri Pertahanan pada 1995 dalam kerajaan sebelum ini.

Allahyarham juga pernah menggalas tanggungjawab sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 1993 hingga 2000.

Pada 2015, media melaporkan Dr Abdullah Fadzil hilang di Bukit Tunku, Kuala Lumpur sebelum ditemui pada petang hari yang sama dan difahamkan ketika itu beliau dipercayai menghidap dementia iaitu kelemahan daya mental hingga mengakibatkan hilang memori.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam hantaran Facebooknya turut memaklumkan beliau hadir menunaikan solat jenazah Allahyarham di Masjid Sungai Ramal Luar.

Ujar Ahmad Zahid, Abdullah Fadzil bukan sekadar sahabat, tetapi juga seorang jiran yang baik dan amat dihormati.

“Semoga Allah merahmati dan menempatkan arwah dalam kalangan insan soleh dan beroleh jannah. Al-Fatihah,” tulisnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI