fbpx

Barang kes termasuk rokok, minuman keras bernilai RM216,318 dilupus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hussein Omar Khan melihat barangan rampasan yang akan dilupuskan dalam Majlis Pelupusan Barang Kes di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang hari ini.-Foto FAIZ ALIF ZUBIR/KOSMO!

SEPANG- Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang melupuskan barang kes membabitkan mesin bitcoin, rokok dan minuman keras yang dirampas bagi tempoh 2019 hingga tahun ini dengan nilai anggaran RM216,318.26.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, pelupusan barang kes Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sepang itu melibatkan dua kes rampasan bitcoin selain tiga kes rampasan rokok dan minuman keras.

Menurut beliau, bagi kes mesin bitcoin, rampasan membabitkan sebanyak 80 mesin melombong bitcoin dan 80 mesin bekalan kuasa yang dianggarkan bernilai RM65,733.

Selain itu, katanya, rampasan turut melibatkan 3,381 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM150,406 termasuk 228 botol, 176 tin serta lima karton minuman keras.

“Arahan pelupusan barang kes telah diperolehi daripada Majistret Mahkamah Sepang, Muhammad Bukhori Md. Ruslan mengikut Seksyen 406A Kanun Prosedur Jenayah.

“Daripada keseluruhan lapan kes, enam daripadanya dituduh di mahkamah, manakala dua lagi kes mendapat keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) oleh Timbalan Pendakwa Raya Selangor,” katanya pada sidang akhbar di IPD Sepang hari ini.

Beliau berkata, bagi barang kes mesin melombong bitcoin, pelupusan dijalankan dengan menghancurkan mesin-mesin tersebut secara manual, manakala cecair minuman keras akan diasingkan secara kimia sebelum dilupuskan menerusi pemeruapan.

Sementara itu, katanya, bagi rampasan rokok semua barang kes akan dibakar di dalam kebuk pembakaran.

“Proses pelupusan dilakukan oleh sebuah syarikat yang menerima pensijilan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara untuk menjalankan pelupusan bagi aset-aset kerajaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI