TERUS berusaha mengukuhkan langkah dalam arena seni suara, Nadeera Zaini memilih untuk dikenali sebagai Nadeera menerusi penjenamaan semula imej dirinya supaya mudah diingati.
Keputusan tersebut dibuat usai berbincang dengan pihak pengurusan, Woodwind Records yang percaya, pengenalan nama serta imej lebih segar satu perubahan berani yang harus dilakukan.
Menurut pemilik nama sebenar Farah Nadeera Zaini itu, penjenamaan tersebut antara lain dilaksanakan sebagai persiapan untuk menembusi pasaran luar negara.

Banyak nama
“Selepas berbincang dan bertanyakan pendapat mereka yang profesional, saya kini hanya mahu dikenali dengan satu nama sahaja iaitu Nadeera.
“Sebelum ini, saya pernah dikenali dengan nama Nadeera Zaini, Farah Nadeera serta nama lain seperti Nadeera Mentor Legend, Nadeera Lagu Cinta Kita dan Nadeera Big Stage.
“Jadi keputusan membawa nama Nadeera sahaja disebabkan percaya nama itu mampu menyuntik nafas baharu terhadap kerjaya seni saya, sekali gus membawa tuah.
“Saya juga mempunyai perancangan jangka masa panjang untuk melebarkan sayap sekitar Nusantara serta ke peringkat antarabangsa,” kata penyanyi berusia 30 tahun itu.
Menegaskan belum terlambat menempah kejayaan sebagai penghibur, akui juara Big Stage 2023 itu yakin percaturan berpayung bawah Woodwind Records sebagai pilihan tepat.
“Syarikat ini mungkin masih baru tetapi tenaga di sebaliknya terdiri daripada penggiat industri hiburan belakang tabir yang berpengalaman luas.
“Woodwind Records telah menyediakan pelbagai perancangan untuk merencana perjalanan saya dalam bidang muzik,” katanya.

Emas lambang semangat
Tidak menunggu lama, Nadeera tampil bersama single baharu berjudul Emas yang merupakan sentuhan bersama Omar K, Iqie Hugh dan Firdaus Rahmat selaku komposer, manakala lirik hasilkan nukilan mereka bertiga bersama penyanyi Datin Alyah.
Mahu lari daripada kebiasaan berbanding single sebelum ini bertemakan cinta, kali ini Nadeera mengangkat pula tema kebangkitan dan semangat.
“Selepas berbincang mencari material yang sesuai, kami bersepakat untuk menjadikan Emas sebagai single perdana pasca kejuaraan Big Stage.
“Kronologi kisah ini seakan-akan bercerita mengenai semangat dan kebangkitan, sesuai dengan perjalanan baharu saya selepas memenangi pertandingan Big Stage musim kelima.
“Saya bagai dilahirkan semula selepas menjuarai Big Stage, sekali gus mendorong saya untuk enggan sia-siakan perjalanan yang baru sahaja bermula.
“Saya enggan leka dan tak mahu nama kembali suam,” tambahnya.

9 jam rakaman
Berkongsi mengenai Emas, katanya, dendangan berkenaan merupakan isi hatinya yang mahu terus bersinar selepas melalui fasa jatuh bangun sebagai penyanyi bermula sejak 2012.
“Pengembaraan ini bukan mudah kerana karier seni saya telah bermula sedekad lalu selepas menyertai beberapa pertandingan.
“Pengalaman lalu sungguh menyentuh emosi. Naluri saya seperti mendapat suntikan semangat ketika berada di studio.
“Proses rakaman berjalan lancar, tetapi saya mengambil masa sembilan jam rakaman kerana mahu mendapatkan penjiwaan mendalam.
“Harapan saya, agar roh dan jiwa lagu Emas ini dapat disampaikan sebaik mungkin kerana karya ini sangat dekat dengan diri saya,” ujarnya teruja.
Umum tahun, selepas berminggu-minggu memberikan persembahan terbaik, pertandingan realiti nyanyian Big Stage ternyata membawa tuah kepada Nadeera apabila merangkul gelaran juara.
Selepas tamatnya pertandingan awal Julai lalu, Nadeera yang meraih pujian ramai penghibur senior terus bangkit biarpun berdepan beberapa halangan.
Antara mereka yang kagum dengan pencapaiannya kini adalah Datuk Zainal Abidin yang pernah menjadi mentornya dalam program Mentor Legend 2014.
Tidak hairan, kredibiliti anak jati Johor itu melayakkannya beraksi dalam beraksi dalam konsert Dream Collaboration Vol.4: Cakra Khan yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 17 September nanti.














