fbpx

Yayasan Kor Risik Diraja sasar dana RM2 juta pada 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hamzah (kiri), Ikmal (dua dari kiri), Syed Azman (dua dari kanan) dan Kamarudin (kanan) ketika Majlis Perasmian YKRDM semalam.

KUALA LUMPUR – Yayasan Kor Risik Diraja Malaysia (YKRDM) menyasarkan sebanyak RM2 juta dana dapat dikumpulkan pada tahun 2023 bagi menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan khususnya veteran, warga KRD yang masih berkhidmat.

Pengasas YKRDM, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah berkata, YKRDM telah ditubuhkan sejak 1 September 2021 di mana ia merupakan cetusan idea Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim yang juga pengasas yayasan terbabit.

Katanya, permohonan penubuhan yayasan berkenaan telah diluluskan pada tahun 2022 dan ia sekaligus membuka peluang cerah untuk mereka memperoleh dana yang lagi besar berbanding sebelum ini.

“Objektif penubuhan yayasan ini amat jelas iaitu bagi membantu serta memberikan sokongan kepada mereka yang menghadapi masalah kesihatan yang serius termasuk mereka yang terjejas akibat kejadian bencana alam.

“Selain itu, yayasan juga menyokong ke arah usaha meningkatkan pendidikan, bidang kemahiran dan sosioekonomi.

“Melihat kepada sumbangan yang dihulurkan, saya amat terharu dan berterima kasih di atas keikhlasan anda semua. Saya berharap ia akan digunakan sebaik mungkin pihak Lembaga Pengarah dalam menentukan amanah yang digariskan terlaksana,” ucapnya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian dan Makan Malam Amal YKRDM di Hotel Royale Chulan, di sini, semalam, yang dihadiri oleh seramai 300 orang tetamu terdiri daripada orang awam serta bekas tentera Kor Risik dan Kor yang lain.

Sehubungan itu, Presiden Kelab Veteran Kor Risik Diraja Malaysia (KVRM), Mejar Jeneral Datuk Hamzah Haji Mohd Ali berkata, pihaknya menjangkakan kutipan dana pada tahun 2023 dapat mencecah nilai RM2 juta.

“Bagi sasaran tahun hadapan pula, ia bergantung kepada aktiviti-aktiviti yang bakal dilancarkan untuk mendapatkan kutipan termasuk daripada orang awam.

“Aktiviti pertama yang bakal dijalankan adalah lebih kepada aktiviti kebajikan susulan ramai anggota-anggota yang terlantar, hidup dalam keadaan daif serta yang berada di bawah paras kemiskinan. Jadi, kita akan bantu mereka serba sedikit,” ujarnya ketika sidang akhbar semalam.

Sementara itu, Pengerusi Pemegang Amanah YKRDM, Datuk Kamarudin Mohamed berkata, kutipan dana bakal ditingkatkan menerusi aktiviti-aktiviti sosial yang telah dirancang dari masa ke semasa.

“Kita bakal jalankan program iaitu golf amal yang mana akan dilaksanakan pada akhir Oktober serta sukan berbasikal atau ‘Fun Ride’ pada bulan November akan datang. Ini adalah punca dan sumber kita untuk banyakkan lagi dana.

“Pada masa sama, sesiapa yang membantu (penderma) ada hak untuk mendapat pelepasan cukai dan kita telah memohon perkara ini dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” jelasnya.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI