fbpx

Suspek kes tumbuk pengacau isteri hingga maut direman tujuh hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis mengiringi suspek (dua kanan) ketika tiba di Mahkamah Majistret Tanah Merah hari ini. Foto oleh ROHANA ISMAIL/ KOSMO! ONLINE

TANAH MERAH – Suspek yang bertumbuk sehingga menyebabkan kematian seorang penjawat awam yang mempunyai hubungan sulit dengan isterinya di Jalan Lama Pasir Putih-Machang hadapan Hospital Machang dekat sini semalam direman tujuh hari.

Perintah reman yang bermula hari ini sehingga Ahad dikeluarkan oleh Majistret Amal Razim Alias di Mahkamah Majistret Tanah Merah di sini.

Tahanan reman terhadap suspek yang berusia 46 tahun itu bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kosmo! Online semalam melaporkan, seorang penjawat awam maut selepas bertumbuk dengan seorang lelaki apabila dia dipercayai mengganggu isteri orang dalam kejadian depan sebuah premis di Jalan Lama Pasir Putih-Machang dekat Machang semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Machang untuk buat laporan polis sebelum ditahan bagi siasatan lanjut.

Menurutnya, siasatan mendapati, kejadian berlaku kira-kira pukul 11 pagi selepas suspek mengesyaki mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.

“Suspek bekerja di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur manakala mangsa yang berusia 51 tahun dan isteri suspek merupakan penjawat awam di sebuah jabatan sama di Kuala Krai.

“Akibat pergaduhan tersebut, penjawat awam itu mengalami kecederaan dan pendarahan serius pada bahagian muka. Selain itu, mangsa juga parah pada kedua-dua belah mata dan patah tulang rusuk sebelah kiri manakala suspek hanya cedera di kedua-dua belah tangannya,” katanya.

Muhamad Zaki memberitahu, siasatan mendapati pergaduhan tersebut berlaku tanpa melibatkan sebarang senjata. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI