fbpx

Ini perbarisan terakhir bersama abah – anak anggota Rela

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Harraz (kanan) menunjukkan gambar arwah ketika ditemui di Jiboi, Seremban semalam.

SEREMBAN – Seorang anak tidak menyangkakan perbarisan lintas hormat sempena Hari Kebangsaan ke-66 peringkat Negeri Sembilan kelmarin menjadi perbarisan terakhir bersama arwah bapanya, Muhammad Noh Muhammad Isa, 53, yang rebah sebelum meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini.

Ahmad Harraz Muhammad Noh, 20, berkata, bapanya yang lebih selesa dipanggil ‘abah’ itu tidak menunjukkan tanda-tanda kepenatan dan sangat teruja untuk mengetuai 45 anggota bagi kontinjen Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Negeri Sembilan di Dataran Majlis Bandaraya Se­remban.

Menurut pelajar semester dua Ijazah Ekonomi Kewangan Islam, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu, ini merupakan tahun kedua dia bersama bapanya menyertai perbarisan dan latihan sudah diadakan lebih seminggu lalu.

“Lepas lintas hormat melalui hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud, abah nampak masih bersemangat.

“Saya berada di belakang abah dan memegang bendera. Di hujung perbarisan, tiba-tiba abah pitam. Kaki saya sudah me­langkah ke depan. Saya sempat pegang sebelah badan abah, namun terlepas dan disambut anggota yang berbaris di belakang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jiboi, di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Rela Negeri Sembilan, Penolong Pesurujaya (Rela), Muhammad Faiz Musa dan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri Sembilan, Nur Muhammad Bakhtir Mohamad Akhir.

Jelas Ahmad Harraz lagi, tarikh 31 Ogos merupakan tarikh yang sangat ditunggu-tunggu arwah yang merupakan pesara tentera memandangkan abahnya merupakan Ketua Jurulatih serta sentiasa komited dalam menjalankan tugas yang diberikan.

“Abah selalu pesan kalau sudah pakai uniform ini, kita mesti bertanggungjawab dan amanah dalam menjalankan tugas,” katanya yang menyertai Rela bersama kakak sulungnya, Qistina Amierah, 21.

“Kami bertugas sebagai anggota Rela pada musim cuti sahaja, manakala adik bongsu, Qistina Umairah Muhamad Noh, 18, masih belajar di Matrikulasi Kuala Pilah,” katanya.

Isteri arwah, Maniliza Abdul Hamid, 47, pula tidak menyangkakan kata-kata suaminya sehari sebelum kejadian iaitu akan pengsan disebabkan kepenatan akan menjadi kenyataan.

“Arwah sudah berkhidmat dalam Rela sejak 2010. Dia sangat dihormati dan sudah lebih lima tahun menjadi jurulatih bagi Rela di sini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI