fbpx

Allahyarham ingatkan tidak leka hal duniawi, berseloroh mengenai kematian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR kenangan Amir Ruddin bersama isteri dan enam anaknya.

SEGAMAT – Mangsa enam sekeluarga yang terkorban dalam kemalangan maut di Kilometer 5, Jalan Segamat – Kuantan petang semalam kerap mengingatkan rakan tidak leka hal duniawi.

Menurut Mohd. Noor Hamizi, 39, rakan karib sekerja kepada Amir Ruddin Ismail, 46, sejak dua minggu lalu, Allahyarham semakin kerap berbual mengenai kematian, dosa pahala serta hari pembalasan.

“Dia sering menasihatkan saya supaya tidak leka hal duniawi dan jangan lengahkan waktu solat.

“Saya tidak menyangka kata-kata dan nasihat arwah kepada saya dan rakan-rakan lain yang ada kalanya disampaikan secara santai menjadi petanda dia akan pergi buat selama-lamanya.

“Dia sering menceritakan hal dunia yang sementara, pelbagai perkara yang berlaku tanpa mengira dosa pahala yang terjadi sejak kebelakangan ini dalam masyarakat.

“Saya sudah menganggap dia seperti abang kandung sendiri. Dia juga nasihatkan supaya bersabar dan jangan bertindak di luar batasan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat (HDS), di sini pagi ini.

Amir Ruddin Ismail bapa kepada enam cahaya mata itu juga merupakan imam Masjid Ladang Tereh Utara, Kluang antara enam terkorban termasuk isteri serta empat anaknya dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan petang semalam.

Mohd. Noor yang merupakan penyelia ladang berkata, ketika kejadian Allaryarham Amir Ruddin dalam perjalanan menghantar isterinya yang turut maut, Noorahimah Noor Muhamad, 43, untuk pulang bertugas sebagai ustazah di Sekolah Agama Ladang Kemedak di Segamat.

“Amir Ruddin seorang yang rajin dan ringan tulang melakukan kerja kebajikan seperti pelbagai program masjid bersama penduduk setempat.

“Dia bapa yang baik dan taat perintah agama. Saya tidak menyangka tegurannya yang kadang kala serius dan secara berjenaka bercerita soal kematian sejak akhir ini menjadi tanda ajalnya tiba,”kongsinya dalam nada sebak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, mangsa yang maut akibat kemalangan tragis itu adalah pemandu Perodua Alza, Amir Ruddin Ismail, 46 termasuk lima lagi ahli keluarganya.

“Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai isteri Amir Ruddin Ismail iaitu Norahimah Noor Muhamad, 43, Fatimatulzahrah Amir Ruddin, 17, Seri Khadijah Aqilah Amir Ruddin, 13, Rufaidatul Asyariyah Amir Ruddin, 10, dan Muhammad Assyakrawi Amir Ruddin, 5.

“Kesemua mangsa maut dipercayai mengalami kecederaan parah di kepala.

“Manakala seorang lagi mangsa yang juga penumpang kereta Perodua Alza, Abdullah Amir Ruddin, 15, dan pemandu lori sedang dirawat di Hospital Segamat akibat kecederaan parah di dada dan badan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI