fbpx

Memoir ‘pusing’ Semenanjung guna kapcai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENULIS berjaya menjejakkan kaki di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

PENULIS dan rakan, Mohd. Yusof Ramli memulakan pengembaraan kami mengelilingi Semenanjung Malaysia di Plaza Tol Alor Setar Utara, Kedah pada awal pagi.

Kami sempat singgah isi minyak di kawasan rehat dan rawat (R&R) Gurun, sebelum singgah ke Restoran Nasi Kandar Subaidah, Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Setelah sarapan, perjalanan kami diteruskan sebelum berhenti sekali lagi di R&R Gunung Semanggol, Perak untuk isi minyak.

Ketika ini, kami dapati minyak motor cepat habis kerana tangki penuh hanya mampu menampung perjalanan sejauh 70 kilometer (km).

Melihat keadaan itu, rakan saya memberi cadangan agar kami turunkan kelajuan daripada 110 km per jam (km/j) kepada bawah 100 km/j bagi menjimatkan kadar penggunaan minyak.

Kami dapati cadangan itu berhasil apabila satu tangki penuh boleh menampung perjalanan sejauh 110km.

Oleh kerana cuaca tengah hari agak panas ketika itu, kami mengambil keputusan untuk berhenti di tepi jalan menuju ke Terowong Menora yang terletak di bawah Banjaran Keledang untuk berehat selama 15 minit.

Setelah itu, kami meneruskan perjalanan ke kawasan sekitar Green View Garden, Cameron Highland, Pahang untuk menjamu selera.

Pada malam tersebut, kami menginap di sebuah inap desa di kawasan Brinchang, Cameron Highland.

Perjalanan hari kedua dimulakan dengan sarapan di kafe Abang Strawberry, sebelum turun menerusi jalan Tapah menuju ke Lata Iskandar.

Habis menikmati suasana air terjun di Lata Iskandar, kami meneruskan perjalanan sebelum berhenti di R&R Ulu Bernam, Tanjong Malim, Selangor.

Selesai mengisi minyak, kami teruskan perjalanan sebelum berhenti rehat sebentar di bawah jejambat di susur keluar laluan Sungai Buloh.

Kami tiba di R&R Pedas Linggi, Negeri Sembilan untuk berehat pada pukul 3 dan teruskan perjalanan ke Melaka melalui susur keluar Simpang Ampat.

Di Melaka, kami singgah di gerai berdekatan untuk makan asam pedas sebelum ke inap desa di Banda Hilir.

Pada hari ketiga, kami mulakan hari dengan sarapan di Roti Canai Kayu Arang dan bergambar di hadapan mercu tanda bandar Melaka.

PENULIS bergambar kenangan di depan Bangunan Stadthuys, Banda Hilir, Melaka.

Dari Banda Hilir, kami mula beransur keluar daripada hiruk-pikuk bandar dan mula menelusuri jalan kampung.

Sampai di Muar, Johor, kami singgah makan mi bandung ‘gearbox’ di Restoran Ahmad Albab dan minum kopi di Gerai 343.

Kami meneruskan perjalanan ke tugu Tanjung Piai yang menandakan penghujung selatan Tanah Asia.

Namun malangnya, kami tiba lewat lima minit sebelum Taman Negara Johor tutup.

Kami reda dengan keadaan tersebut, sebelum mengambil keputusan untuk bergambar kenangan di kawasan resort sekitar.

Malangnya ketika bergambar, beberapa ekor monyet ‘kekah’ botol minyak dan kebas botol air oren kami.

Tanpa melengahkan masa, kami teruskan perjalanan ke sebuah inap desa di Iskandar Puteri untuk bermalam.

Pada hari keempat, kami sempat merakam gambar di hadapan Hotel Legoland dan Stadium Sultan Ibrahim sebelum singgah makan di medan selera berdekatan.

Kemudian, kami mengikut laluan pantai Tanjung Sedili untuk ke Mersing, Johor. Pemandangan sepanjang perjalanan sangat cantik.

Kami melepasi kubu British di Kota Tinggi dan rehat di beberapa tempat sebelum singgah makan udang galah di Leban Condong, Rompin, Pahang.

Seterusnya, kami ke Pekan untuk ambil beberapa foto kenangan sebelum meneruskan perjalanan dan bermalam di Kuantan.

Keesokannya, kami sarapan di warung berdekatan sebelum teruskan perjalanan ke Kuala Terengganu, Terengganu.

Kami sempat merakam gambar di Jambatan Angkat sebelum teruskan perjalanan ke Kuala Besut.

Selepas makan keropok lekor di kawasan tersebut, kami terus menuju ke inap desa di Kubang Kerian, Kelantan dan makan malam di Restoran Tanjak.

Pada hari terakhir, kami ambil kesempatan untuk bergambar di mercu tanda Kota Bharu dan singgah makan roti titab di gerai berdekatan.

Dari Kota Bharu, kami singgah di Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra di Rantau Panjang sebelum meneruskan perjalanan ke Gerik, Perak.

Di Gerik, kami makan di restoran dalam air sungai iaitu Castella Cafe.

Kemudian, kami teruskan perjalanan ke Gurun dalam keadaan hujan lebat.

Setiba di Gurun, kami singgah solat asar di masjid berdekatan sebelum menamatkan kembara di Tol Alor Setar Utara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI