fbpx

TikTok tempat orang muda hayati merdeka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENULIS masih ingat, setiap kali tibanya bulan kemerdekaan, pasti akan ada iklan istimewa tentang sambutan penuh bermakna itu yang disambut pada 31 Ogos setiap tahun.

Nilai perjuangan, perpaduan sesama kaum, keharmonian masyarakat dan toleransi sering menjadi fokus utama dalam me­nyampaikan erti kemerdekaan di Malaysia yang terdiri daripada kepelbagaian kaum dan agama.

Lagu-lagu patriotik akan mula berkumandang di kaca televi­syen mahupun radio, kibaran Jalur Gemilang merata-rata, menambahkan lagi kemeriahan suasana sambutan Hari Kemerdekaan yang disambut.

Filem Sarjan Hassan misalnya sudah menjadi filem wajib ta­yang setiap kali tibanya hari kemerdekaan, sebagai simbolik menunjukkan perjuangan datuk nenek kita berjuang menentang penjajah.

Kelompok sebaya penulis mungkin masih boleh ‘meresap’ usaha yang dilaksanakan dengan cara begitu. Namun, bagaimana pula dengan penerimaan ge­nerasi muda hari ini untuk memupuk semangat patriotisme yang mana masa mereka lebih banyak dihabiskan dengan media sosial.

Seorang pelajar, Iskandar Ishak, 22, berkata, secara purata setiap hari dia menghabiskan masa kira-kira selama empat jam untuk melayari media sosial terutama TikTok.

Konten yang ditonton pula adalah pelbagai berkaitan teknologi, perkembangan semasa dalam dan luar negara dan bukan sekadar hiburan semata-mata.

“Dalam Tiktok sebenarnya terdapat banyak konten atau perkongsian bermanfaat, bukan untuk tujuan hiburan sahaja.

“Siapa kata dalam TikTok tidak ada konten bersifat patriotik? Malah penyampaiannya juga lebih kreatif, ringkas dan menghiburkan,” katanya.

Menurut Pensyarah Kanan Program Komunikasi Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Muhammad Raqib Mohd. Sofian, media seperti cetak dan elektronik dilihat masih memainkan peranan penting dalam memupuk semangat kemerdekaan dalam kalangan generasi muda.

Walaupun dunia kini dipe­ngaruhi dengan media sosial yang lebih meluas, platform tersebut berupaya memupuk semangat nasionalisme dalam kalangan anak muda.

“Kajian terbaharu menunjukkan aplikasi TikTok contohnya menjadi pilihan utama anak muda untuk mendapatkan maklumat.

“Mereka (generasi muda) hari ini lebih cenderung menjadikan TikTok untuk mendapatkan maklumat. Maka tidak hairanlah anak muda hari ini lebih bergantung pada aplikasi itu untuk memperoleh rujukan dan maklumat,” katanya.

Dalam pada itu, Raqib melihat media sosial seperti TikTok sebagai kekangan untuk seseorang menyemai semangat patriotisme, malah menyeru semua pihak menggunakan dan mengeksploitasi platform digital tersebut sebaiknya untuk memupuk semangat kemerdekaan dan cintakan negara.

Walaupun mengakui terdapat kebaikan dan keburukan terhadap TikTok, namun sebagai pengguna, mereka perlu bijak memilih konten yang boleh memberi manfaat.

Pihak kerajaan misalnya, boleh mengambil kesempatan untuk menghasilkan konten menarik sempena Hari Kemerdekaan dengan menerapkan nilai-nilai kekitaan yang ada di Malaysia bagi menarik tontonan belia.

“Pempengaruh media sosial juga perlu berganjak dan bergerak ke hadapan dengan menyediakan konten bermanfaat untuk kebaikan perpaduan masyarakat di negara ini.

“Konten-konten bermanfaat yang yang dihasilkan itu tidak mustahil sedikit sebanyak dapat menyemai jiwa patriotik dan memberi kesan sama dengan kempen-kempen yang dicanang secara tradisional melalui surat khabar, televisyen dan radio,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN