fbpx

Jawatankuasa Harmoni bantu selesai persoalan berkaitan agama, kaum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Naim beramah mesra bersama pemimpin agama selepas Majlis Muhibbah Merdeka bersama pemimpin-pemimpin agama di Kompleks Islam Putrajaya hari ini. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR

PUTRAJAYA- Kerajaan akan mengaktifkan semula Jawatankuasa Keharmornian Antara Penganut Agama (Harmoni) yang berperanan menjadi medium perbincangan antara pemimpin-pemimpin agama bagi menyelesaikan persoalan berkaitan agama serta kaum.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, jawatankuasa itu yang memberi tumpuan sebagai badan perundingan rasmi pemimpin agama akan dipengerusikan olehnya serta Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

“Jawatankuasa Harmoni akan berfungsi sebagai badan perundingan rasmi pemimpin agama utama di Malaysia bagi memberikan input terbaik serta mencadangkan program praktikal bagi memperkukuhkan persefahaman beragama rakyat Malaysia.

“Jadi, kita perlu pastikan jawatankuasa itu kekal berfungsi, kita tidak mahu ia wujud dan hilang. Untuk tujuan itu, saya dan Aaron akan mainkan peranan untuk pastikan ia terus berfungsi,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Majlis Muhibbah Merdeka bersama pemimpin agama di Kompleks Islam Putrajaya di sini petang tadi.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, buat masa ini, Kementerian Perpaduan Negara sedang dalam proses menentukan ahli jawatankuasa dan jumlah keanggotaannya masih dalam perbincangan.

“Kita masih dalam proses menentukan ahli jawatankuasa dan berharap enam pemimpin agama bukan Islam yang hadir pada hari ini akan ada dalam jawatankuasa itu termasuk pemimpin-pemimpin Islam,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan cabaran Kerajaan Perpaduan menyelamatkan Malaysia berikutan sikap pembangkang yang ekstremis dengan memainkan isu kaum dan agama, Mohd. Na’im berkata, Jawatankuasa Harmoni antara langkah awal menyelesaikan isu itu.

“Dialog yang kita laksanakan merupakan usaha untuk pastikan keharmonian wujud kerana ia sukar untuk bangunkan ekonomi dan masyarakat jika tiada elemen itu.

“Justeru, segala isu berkaitan keresahan masyarakat berkaitan agama akan dibawa dalam Jawatankuasa Harmoni dan dibincang bersama pemimpin terlibat.

“Kita tidak mahu pihak ketiga memanipulasi ruang yang ada untuk timbulkan keresahan. Oleh itu, Jawatankuasa Harmoni akan berbincang isu yang timbul seperti hadis seterusnya menjadi jurucakap kepada masyarakat untuk menjawab persoalan yang timbul,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI