fbpx

4 hari bertarung nyawa, suspek ceroboh rumah meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Empat lelaki ditahan reman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang lelaki yang menceroboh sebuah rumah di Kampung Belukar, Kota Bharu kelmarin.

KOTA BHARU – Selepas empat hari bertarung nyawa, seorang penganggur yang bergelut selepas ditangkap ketika cuba memecah masuk rumah di Kampung Belukar, Tapang di sini, Ahad lalu akhirnya meninggal dunia kelmarin.

Lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu menghembuskan nafasnya pada pukul 9.43 malam ketika menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, lelaki itu mengalami kecederaan pada bahagian muka dan kepala.

Polis menerima laporan mengenai sebuah rumah di kampung tersebut diceroboh seorang lelaki pada pukul 3 pagi pada Ahad lalu.

“Mangsa (pemilik rumah) melihat suspek sedang mengumpil tingkap dari bahagian luar. Dia menghampiri lelaki itu, namun penceroboh melarikan diri.

“Suspek berjaya ditangkap pemilik rumah dengan bantuan penduduk kampung. Semasa tangkapan dibuat, lelaki itu yang bersenjatakan pisau bertindak agresif sehingga berlakunya pergelutan antara mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Rosdi memberitahu, keadaan itu menyebabkan suspek cedera di muka dan kepala. Lelaki itu ditahan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, lelaki itu kemudian dihantar ke HUSM untuk rawatan lanjut. Semakan mendapati, lelaki tersebut mempunyai dua rekod kes jenayah dan dadah.

Pada awalnya kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh rumah dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata bahaya 1958 kerana memiliki pisau di tempat awam.

Susulan kejadian itu, pemilik rumah dan tiga lagi penduduk berusia dalam lingkungan 30-an hingga 50-an direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI