MEMBACA komen-komen netizen di media sosial tentang isu berkaitan poligami membuatkan seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Zura tertawa dan senyum sahaja.
Bagi Zura, mereka yang tidak pernah merasai apa itu poligami berhak berkata apa sahaja kerana tidak pernah berada di tempat di mana seorang isteri terpaksa berkongsi lelaki dengan wanita lain.
“Saya pernah dimadukan apabila suami saya memilih untuk berpoligami dengan mengahwini seorang wanita yang lebih muda.
“Sepanjang tempoh itu, apa yang boleh saya rasakan adalah sakit hati dan setelah memendam rasa seorang diri akhirnya jalan terbaik yang boleh saya buat adalah mengundurkan diri mencari bahagia sendiri,” katanya yang berusia awal 40-an kepada K2.
Jelasnya, setelah hampir tiga tahun dimadukan, Zura akhirnya mengambil keputusan nekad bagi memfailkan fasakh untuk berpisah dengan suaminya itu.
Menceritakan kembali tentang hubungan dalam rumah tangga mereka, Zura menjelaskan, dia dan suaminya berkahwin atas dasar cinta antara satu sama lain.
Malah, dia amat bersyukur dikurniakan suami yang baik dan patuh dengan ajaran agama.
Namun begitu, setelah 20 tahun hidup bersama dan dikurniakan dua cahaya mata, perkahwinan mereka diuji.
Suaminya secara terus terang meminta kebenaran kepada Zura untuk berpoligami dengan mengahwini seorang wanita yang baru dikenalinya.
“Sepanjang hidup dengannya, saya sudah masak dengan perangainya, jika hendakkan sesuatu dia akan berterus terang.
“Pada ketika itu, saya rasa marah dan kecewa sekali kerana dia ada menjalinkan hubungan dengan wanita lain di belakang saya.
“Suami saya juga adalah seorang yang panas baran dan jika kemahuannya tidak diikuti dia akan marah,” katanya.
Zura kemudian meminta masa untuk memikirkan hal tersebut sebelum memberi keputusan.
Sebenarnya dari awal sudah terdetik di hati Zura bahawa suaminya itu tidak akan boleh berlaku adil sekiranya berpoligami.
Ini kerana, suaminya hanya bekerja sendiri dan kadangkala berdepan masalah kewangan.
Malah, Zura yang banyak membantu suaminya memandangkan Zura seorang penjawat awam.
Saban hari suaminya itu mendesak untuk mendapatkan persetujuan daripada Zura bagi membolehkannya berkahwin lagi dengan wanita lain.
“Dia juga berjanji akan berlaku adil untuk kedua-duanya. Bukan itu sahaja, dia juga memberi dalil-dalil dari sudut agama tentang poligami,” katanya.
Zura mengakui, jika dia melarang sekalipun suaminya itu tetap akan mengahwini wanita tersebut.
Akhirnya, Zura reda dan membenarkan suaminya itu untuk berpoligami.
Ternyata, apa yang dirasakan Zura benar belaka di mana suaminya itu tidak mampu untuk berlaku adil setelah berpoligami.
Setelah tiga bulan berpoligami, suaminya itu mula melepaskan tanggungjawab sebagai suami dan bapa.
“Dia culas untuk menunaikan nafkah zahir dan juga batin kepada saya.
“Malah, masanya sering dihabiskan bersama isteri baharunya itu,” katanya.
Lebih menyakitkan hati, Zura jugalah menjadi mangsa apabila suaminya itu berhadapan masalah kewangan.
Suaminya itu sering meminjam wang daripadanya dan langsung tidak membayar kembali.
“Saya rasa seperti diri dipergunakan selama ini kerana bekerja dan mempunyai wang,” katanya.
Setelah lebih dua tahun dimadukan, Zura mula hilang rasa sayang dan hormat kepada suaminya itu.
Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk memohon fasakh daripada suaminya bagi membolehkan dia mencari kebahagian lain buat dirinya.
“Namun begitu, sukar sekali untuk saya berpisah dengannya kerana suami tidak mahu melepaskan saya.
“Setelah beberapa kali naik turun Mahkamah Syariah akhirnya kami sah berpisah,” jelasnya.
Kini, Zura membawa anak-anaknya untuk pulang ke kampung halaman dan mereka memulakan hidup baharu.














