AUDI merupakan jenama kenderaan mewah dari Jerman yang mengeluarkan pelbagai model terdiri daripada sedan, hatchback, sport, sportback, estate, kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kenderaan elektrik (EV).
Kenderaan-kenderaannya yang ditawarkan di Malaysia bersaing dengan jenama-jenama premium lain seperti Volvo, Mercedes Benz, BMW dan lain-lain lagi.
Audi lazimnya digilai sesetengah orang kerana tarikan jenamanya sendiri biarpun harganya tinggi.
Pada minggu lalu, penulis telah berpeluang memandu uji model Audi A5 S Line selama beberapa hari. Model ini merupakan kembar bagi Volkswagen Arteon tetapi versi premium.
Dari segi rekaan, kereta dalam segmen sedan sederhana ini menawarkan reka bentuk sport coupe empat pintu.
Antara elemen baharu yang penulis perasan pada Audi A5 S Line generasi kedua ini ialah rekaannya lebih matang dan gagah berbanding sebelum ini. Reka bentuk model ini juga kelihatan lebih lebar pada pandangan depan dan belakang.
Model ini menggunakan lampu utama dengan teknologi canggih, Audi Matrix LED dan rim aloi 19 inci serta tayar 255/35. Panjang jentera ini ialah 4,757 milimeter (mm), lebar (1,843 mm), tinggi (1,386 mm) dan jarak antara roda (2,824 mm).

Audi A5 S Line ini menggunakan enjin 2.0 TFSI dengan transmisi tujuh kelajuan S Tronic dan pacuan semua roda quattro berteknologi ultra.
Kombinasi itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 249PS pada 5,000 hingga 6,000rpm dan tork tertinggi 370Nm pada 1,600 hingga 4,500 rpm.
Penggunaan petrolnya sekitar 7.1 liter untuk perjalanan sejauh 100 kilometer (km). Sekadar makluman, saiz tangki petrol kereta ini ialah 58 liter.
Audi A5 S Line ini juga menawarkan ruang simpanan barang bersaiz 465 liter, cukup besarkan?
Masuk ke ruang kabin, material tempat duduknya jenis kulit Nappa. Sterengnya dengan butang kawalan memudahkan ketika memandu.
Tempat duduk hadapannya boleh dilaras secara elektrik lengkap dengan sokongan lumbar empat hala dan fungsi memori untuk tempat duduk pemandu.

Ia dilengkapi sistem infotainment terkini dan ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar. Ciri-ciri tanpa wayar ini memang bagus kerana tidak perlu lagi wayar yang membuatkan keadaan serabut.
Secara keseluruhannya, ruang dalaman kereta ini tampak ringkas dan dalam masa yang sama mengetengahkan butang-butang fizikal yang biasa digunakan.
Penghawa dingin tiga zon juga memberikan pilihan suhu untuk pemandu, penumpang hadapan dan penumpang belakang.
Kesimpulannya, Audi A5 S Line ini penulis rasa mungkin sesuai untuk si kaya yang suka memandu kerana tanda harga ditawarkan bukan murah dan bukan semua orang mampu milikinya.
Model sportback ini juga menawarkan pengalaman pemanduan menyeronokkan dari segi pecutan atau pengendalian.
Sebagai contoh, ketika kelajuan tinggi, Audi A5 S Line ini stabil dan senyap.
Penulis rasa memandu seperti pada kelajuan 100 kilometer sejam (km/j), rupanya sudah cecah 120km/j.














