fbpx
Cermin sisi digital menjadi tarikan jentera ini.

SUV elektrik dengan cermin sisi digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

REKA bentuk futuristik dengan elemen mewah menjadi pelengkap kepada model kenderaan elektrik (EV) Q8 e-tron yang diilhamkan Audi.

Malaysia merupakan negara pertama dari Asia Tenggara yang menerima model Q8 e-tron versi kereta diimport sepenuhnya (CBU) dari kilang pengilangannya di Brussels, Belgium.

Audi Q8 e-tron terbaharu hadir dalam dua varian iaitu Q8 e-tron advanced 50 quattro pada harga RM373,290 dan Q8 e-tron S line 55 quattro pada harga RM483,790 atas jalan raya termasuk Audi Assurance Plan (AAP).

Apa yang menarik tentang varian Q8 e-tron S line 55 quattro ialah cermin sisi pada kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik ini antara ciri paling canggih dan futuristik. Audi menggantikan cermin sisi tradisional dengan kamera cermin sisi digital yang dipasang pada bahagian luar pintu hadapan.

Paparan kamera ini akan dihantar secara langsung ke dua buah skrin yang terletak di bahagian tepi berhampiran cermin sisi biasa dalam kereta yang mempamerkan objek sekeliling.

Baru-baru ini, PHS Automotive Malaysia (PHSAM) sebagai pengedar rasmi Audi di Malaysia telah memberi peluang kepada penulis memandu uji Audi Q8 e-tron S line 55 quattro bagi merasai sendiri kehebatan EV ini.

Bagi penulis, model ini antara EV yang paling canggih dengan sistem aerodinamik lebih baik walaupun ada yang berpandangan cirinya terlalu ‘advanced’.

Dari segi teknologi, cermin sisi digital menambah imej moden pada kereta ini yang pastinya menarik perhatian orang, malah pandangan menjadi lebih jelas apabila kamera ini boleh dilaras secara automatik mengikut keadaan.

Penulis secara peribadi setuju dengan kelebihan teknologi cermin sisi digital, namun pengguna perlukan masa untuk membiasakan diri kerana mata kita terbiasa melihat cermin sisi biasa.

Rekaan luaran Q8 e-tron S line 55 quattro masih lagi menggunakan imej korporat Audi gril ‘Single Frame’, namun untuk SUV elektrik ini jeriji depan dilingkari rekaan krom hitam berkilat.

Ia diperkemas dengan rim aloi 21 inci lima jejari ‘black turbine’ dan dilengkapi lampu utama LED matriks.

Dimensi kenderaan ini berukuran panjang 4,915 milimeter (mm), lebar 1,937 mm, tinggi 1,633 mm dan jarak antara roda ialah 2,928 mm.

Saiz Q8 e-tron berada di tengah-tengah antara Mercedes Benz EQC yang kecil sedikit dan juga BMW iX yang lebih besar.

Dari segi kuasa, model ini menggunakan bateri berkapasiti 114kWh dan boleh mencapai jarak gerak sehingga 571 kilometer (km) dengan pengecasan penuh.

Ia boleh menyokong pengecasan AC 11kW yang mengambil masa 9 jam 15 minit untuk mengecas dari 0 hingga 100 peratus.

Sementara untuk pengecasan pantas DC 150kWh memerlukan masa hanya 28 minit untuk pengecasan 10 hingga 80 peratus.

Rekaan dalaman kenderaan ini yang tampak mempesona dengan fabrik kulit Valcona.

Q8 e-tron 50 ini mampu menjana kuasa sehingga 408PS (300kW) dengan tork tertinggi 664Nm dengan pecutan terpantas dari pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 5.6 saat.

Berbanding kereta EV lain, Audi menawarkan sistem gear dua ratio dalam satu gear set untuk penggunaan tenaga yang lebih efisien bagi model ini.

Sepanjang memandu jentera ini, penulis dapati pecutan yang dihasilkan oleh Q8 e-tron adalah lebih lembut dan tidak agresif walaupun pedal telah ditekan had laju maksimum 180 km/j.

Bagi pemandu wanita seperti penulis, Q8 e-tron amat mudah dikendalikan, manakala pecutannya selari dan brek regeneratif model ini amat responsif.

Mungkin jika anda baru membeli EV, anda suka menikmati pecutan keras setiap masa, namun pecutan agresif yang kerap akan mengurangkan jarak pemanduan.

Bagi meningkatkan lagi pengalaman pemilikan, model ini didatangkan dengan e-tron Charging System Compact mudah alih untuk memberi kemudahan mengecas di rumah dan di mana-mana lokasi dengan mudah

Sistem itu terdiri daripada satu unit pengecas kompak pintar dan kabel iaitu pasang sahaja pada kereta dan ke soket standard di rumah dengan output 1.8kW hingga 2.3kW atau menerusi bekalan kuasa tiga fasa beroutput 11kW.

Pengguna juga boleh menetapkan mod pemanduan seperti allroad, efficiency, comfort, auto dan dynamic.

Setiap kali penulis menukar mod pemanduan, Q8 e-tron akan menukar tetapan ketinggian kenderaan dengan sistem ‘air suspension’.

Penggunaan Adaptive Air Suspension menawarkan prestasi yang cukup seimbang dan stabil pada had laju tinggi selain kurang olengan ketika mengambil selekoh.

Sekiranya memandu pada had laju sederhana lebih kurang 80 km/j, kenderaan ini akan ‘recharge’ secara automatik sekali gus mengurangkan ‘range anxiety’ jika bateri kereta sudah berkurangan.

Meninjau ke ruangan kabin, rekaannya minimalis tetapi nampak mewah dengan fabrik kerusi pemandu dan penumpang daripada jenis kulit ‘Valcona’ warna kelabu yang amat selesa.

Ciri standard lain ialah tempat duduk pemandu dengan pelarasan automatik serta fungsi memori, sokongan lumbar untuk tempat duduk barisan depan dan kawalan pendingin hawa empat zon. S line 55 ditambah dengan ciri premium lain seperti sistem pembersih udara (ionizer) dan pewangi (aromatization), penutupan pintu automatik, tempat duduk sport dan logo S pada beberapa bahagian.

Varian ini turut dilengkapkan dengan sistem audio 3D premium Bang & Olufsen.

Kenderaan ini menawarkan ciri keselamatan terkini, termasuk lapan beg udara, Audi Pre Sense hadapan dan belakang, kawalan pelayaran adaptif dengan pengehad kelajuan, amaran keluar lorong dan amaran lintasan trafik belakang.

Selain itu, ia dilengkapi sistem infotainment dengan ketersambungan Apple CarPlay tanpa wayar serta Audi Connect Navigation dan head-up display.

Jika anda mahukan gaya dengan teknologi terkini dengan suntikan mewah, pastinya jentera ini antara pilihan terbaik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN