fbpx

Minta peruntukan tinggi, memang dapat lebih setiap tahun – Rafizi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rafizi ketika berucap dalam majlis perasmian Program Kepimpinan Digital Eksekutif di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – “Bukan sembilan, tetapi enam negeri sahaja dan mereka ini sememangnya mendapat keutamaan agihan peruntukan pembangunan lebih dari negeri-negeri lain”.

Demikian jawapan yang dilontarkan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bagi menjawab ulasan seorang ahli ekonomi berkenaan dengan jurang lima negeri kaya di Malaysia.

Jelas Rafizi, negeri-negeri yang telah diberi keutamaan seperti Sarawak, Sabah, Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis sudah pun mendapat keutamaan peruntukan pembangunan kira-kira 50 peratus daripada peruntukan kerajaan.

“Contohnya dari segi peruntukan di Sarawak, memang mereka mendapat peruntukan yang tinggi secara relatif berbanding negeri-negeri lain.

“Tetapi peruntukan itu juga turut disertai dengan perancangan ekonomi yang baik di peringkat kerajaan negeri. Jadi pertumbuhan ekonomi Sarawak baik.

“Tapi kita tak dapat perkara sama contohnya dari Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu. Hanya satu hala sahaja dimana mereka (kerajaan negeri) minta untuk bagi peruntukan lebih. Padahal mereka memang dapat antara yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kepimpinan Digital Eksekutif bersama Asia School of Business (ASB) dengan kerjasama MIT Sloan Management, di sini hari ini.

Tegasnya, peruntukan persekutuan perlu seimbang untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan dalam masa yang sama seluruh kerajaan negeri bertanggungjawab atas peruntukan persekutuan yang disalurkan.

“Kalau nak bagi peruntukan lebih lagi, kita akan jadi tak adil kepada negeri lain.

“Bagi saya, jika ulasan pakar ekonomi semata-mata sembilan negeri lawan empat negeri lain ia hanya sekadar kenyataan mudah sahaja. Perlukan banyak butiran lanjut lagi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rafizi menjelaskan antara negeri-negeri yang mempunyai pertumbuhan dan kemajuan ekonomi sendiri tanpa perlu banyak ‘suntikan’ Kerajaan Persekutuan adalah Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Ujarnya, peruntukan bagi empat negeri lain terutamanya Negeri Sembilan, Perak dan Melaka antara yang paling rendah diberikan oleh Kerajaan Persekutuan ekoran kemampuan untuk berdiri sendiri.

“Ini kerana mereka tidak kaya tapi hanya kerana mereka tak miskin sangat mereka tak dapat banyak. Jadi ini adalah cabaran yang kita perlu perhalusi kerana perlu berlaku adil selain beri tumpuan kepada negeri-negeri ini,” katanya.

Sebelum ini seorang pakar ekonomi berkata perhatian khusus amat perlu diberikan kepada sembilan negeri yang merekodkan pertumbuhan dan tahap pendapatan lebih rendah daripada purata penengah isi rumah nasional.

Ia memandangkan data semasa menunjukkan jurang dengan lima negeri lain semakin melebar serta membimbangkan, kata seorang ahli ekonomi.

Menurut pakar ekonomi itu, kira-kira 49 peratus rakyat Malaysia tinggal di sembilan negeri itu iaitu Terengganu, Negeri Sembilan, Sarawak, Pahang, Perlis, Sabah, Perak, Kedah dan Kelantan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI