PUTRAJAYA – Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada dasarnya telah bersetuju bahawa biodiesel merupakan salah satu sumber biobahan api alternatif selain menjadi pilihan paling praktikal serta sedia dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, susulan itu, kerajaan perlu memilih langkah yang boleh digerakkan segera serta memberi kesan langsung dan berpaksikan keupayaan domestik sedia ada.
“Biodiesel memenuhi keperluan tersebut kerana ia merupakan sumber tenaga alternatif yang boleh membantu mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil sedia ada yang semakin tidak menentu.
“Biodiesel lebih praktikal pada masa ini kerana ia boleh terus digunakan dalam sistem diesel sedia ada khususnya bagi sektor pengangkutan, logistik, pertanian dan perkhidmatan.
“Ini bermakna kerajaan tidak perlu menunggu ekosistem tenaga baharu dibangunkan sepenuhnya untuk mula bertindak,” katanya pada sidang akhbar di sini tadi.
Katanya, fakta semasa menunjukkan negara berada pada kedudukan yang membolehkan langkah itu dipercepat.
“Pada tahun 2025, pengeluaran biodiesel Malaysia berjumlah 975,207 tan metrik, sedangkan kapasiti pengeluaran mencecah 2.36 juta tan metrik.
“Ini menunjukkan bahawa asas industri, rantaian bekalan dan keupayaan campuran telahpun tersedia dan hanya perlu
diperkukuh secara tersusun untuk memberi manfaat lebih besar kepada negara,” katanya.
Akmal Nasrullah berkata, krisis Asia Barat membuktikan bahawa keselamatan tenaga tidak boleh terus bergantung terlalu besar kepada bahan api fosil import dan pasaran luar.
“Apabila satu konflik geopolitik boleh menggugat laluan yang’membawa sekitar satu perlima minyak dan LNG dunia, itu bermaksud struktur tenaga global masih terdedah kepada kejutan luar.
“Oleh itu, sebagai langkah jangka sederhana kita mesti mempercepat penstrukturan semula ekonomi melalui peralihan kepada tenaga boleh baharu.
“Ia supaya sumber tenaga lebih terjamin secara domestik. Dalam konteks ini, kerajaan bukan sahaja menstabilkan bekalan dan harga, tetapi juga membina daya tahan jangka panjang memandangkan pemulihan krisis ini dijangka mengambil masa sehingga 18 bulan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














