fbpx

Mahkamah: Beberapa transaksi lebih RM1 juta dimasukkan ke akaun bank peribadi Rosmah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosmah ketika hadir di Mahkamah Tinggi hari ini. Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan pertama mengesahkan kepada mahkamah bahawa wang berjumlah RM1.09 juta dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik Datin Seri Rosmah Mansor menerusi beberapa transaksi pada Oktober 2014 hingga Jun 2017.

Keterangan itu diberikan Penolong Pengurus Perkhidmatan ATM (Auto Teller Machine) dan Sokongan Affin Bank Berhad, Nor Ashikin Abdullah, 58, di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Menurut Nor Ashikin, beliau menerima permohonan daripada Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram/Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA/CFT) bank itu untuk mendapatkan maklumat berkenaan rekod transaksi deposit wang tunai menggunakan Mesin Deposit Tunai (CDM) pada November 2018.

Berdasarkan pernyataan pembukaan yang dibacakan pihak pendakwaan ketika prosiding perbicaraan bermula, akaun 0058 adalah milik isteri bekas perdana menteri itu.

“Bagi tujuan itu, saya mengakses rekod elektronik Affin Bank untuk mendapatkan maklumat yang dipohon dan mencetak laporan transaksi deposit wang tunai menggunakan CDM bagi akaun 0058 daripada rekod elektronik dengan menggunakan komputer di pejabat saya.

“Selepas itu, saya menyerahkan penyata itu kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Saksi itu berkata, pada Oktober 2014 hingga Jun 2017, sejumlah RM1,098,200 dimasukkan ke dalam akaun 0058 melalui CDM di beberapa cawangan Affin Bank antaranya di Bangunan Getah Asli, Bangsar dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di Kuala Lumpur.

Pada masa sama, saksi itu turut mengesahkan laporan tersebut dikeluarkan oleh komputer yang dinyatakan dalam perjalanan penggunaannya yang biasa.

“Saya juga mengesahkan komputer itu berada dalam keadaan baik dan beroperasi dengan baik dari segala segi sepanjang bahagian material tempoh laporan tersebut dikeluarkan,” kata saksi itu.

Sementara itu, saksi pendakwaan kedua, bekas Pegawai Pengurusan Operasi, Bahagian Pengurusan dan Operasi Kompleks Seri Perdana, Faizal Shamsuddin memberitahu, beliau pernah membantu seorang pengurus kediaman di Kompleks Seri Perdana mengikut arahan untuk mendepositkan wang tunai ke dalam akaun Affin Bank milik Rosmah.

Faizal, 48, berkata, bagi tujuan itu, pengurus tersebut menyerahkan satu sampul surat berisi wang kepadanya dengan nombor akaun bank Rosmah dicatatkan pada sampul berkenaan.

“Dia (pengurus) meminta saya untuk menyerahkan sampul surat berisi wang tunai kepada pegawai di Affin Bank untuk menguruskan deposit berkenaan.

“Pada hari sama, saya menyerahkan sampul surat berkenaan kepada seorang pegawai perempuan di Affin Bank cawangan Bangunan Getah Asli untuk didepositkan ke dalam akaun bank Rosmah,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim K. Muniandy bersambung pada 7 September ini untuk pengurusan kes.

Rosmah, 71, didakwa atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan lain iaitu gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.  – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI