fbpx

Che Ta Pot Pet saman fitnah influencer Iddin Syah RM16 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rozita (tiga kiri) berbincang dengan Mahendran (kanan) selepas memfailkan tuntutan saman di Mahkamah Tinggi George Town, hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang usahawan kosmetik memfailkan tuntutan saman berjumlah RM16 juta terhadap seorang pempengaruh media sosial yang didakwa telah memfitnahnya sejak lebih sebulan lalu.

Pernyataan tuntutan itu difailkan di Mahkamah Tinggi di sini menerusi peguam yang diketuai oleh K. Mahendran.

Menurut Mahendran, dalam pernyataan tersebut, anak guamnya iaitu usahawan, Rozita Baharom, 36, atau dikenali sebagai Che Ta Pot Pet telah menuntut injunksi ganti rugi teladan terhadap defendan iaitu Muhammad Iddin Syah Mohd. Fuzi, 28, atau Iddin Syah atas dakwaan berkenaan.

“Anak guam saya (Rozita) menuntut defendan (Iddin Syah) memadamkan klip-klip video yang mengandungi ucapan fitnah terhadapnya yang telah dimuat naik di media sosial termasuk di Twitter, TikTok dan Instagram sebelum ini dengan serta-merta.

“Pada masa yang sama, defendan dituntut untuk membuat permohonan maaf secara terbuka khususnya di platform-platform media sosial yang digunakannya untuk memfitnah anak guam saya.

“Selain itu, kami juga telah mendapatkan (perintah) injunksi daripada mahkamah terhadap defendan untuk menggesanya agar memberhentikan tindakan memfitnah anak guam saya di mana-mana platform sehingga kes ini selesai,” katanya kepada pemberita selepas memfailkan tuntutan saman itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, P. Anand di sini, hari ini.

Terdahulu, Anand menetapkan 4 September depan sebagai tarikh sebutan semula untuk pendengaran permohonan injunksi ‘inter-parte’ antara Rozita dan Muhammad Iddin Syah.

Sementara itu, Rozita yang juga seorang selebriti mendakwa, tindakan Muhammad Iddin Syah memfitnahnya telah menjejaskan perniagaan beliau selain memberi kesan yang besar terhadap keluarga terutama anak-anaknya ketika ini.

“Sebelum ini, kita dah beri peluang kepada dia (Muhammad Iddin Syah) untuk menyelesaikan perkara ini (secara baik) tapi pihak beliau tidak menerimanya (untuk membuat permohonan maaf).

“Jadi, saya ambil keputusan untuk mengambil tindakan sepenuhnya (failkan kes di mahkamah),” ujar Rozita.

Kisah Rozita dan Muhammad Iddin Syah menjadi tumpuan sebelum ini apabila pempengaruh media sosial itu mendakwa telah ditipu oleh usahawan terbabit sebanyak RM150,000.

Menurut Muhammad Iddin Syah, Rozita bagaimanapun gagal membuat bayaran semula jumlah tersebut seperti yang telah dijanjikan sebelum ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI