fbpx

Penduduk hidu asap tebal dari tapak pelupusan sampah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Tanjung Langsat, Pasir Gudang sudah dipadamkam, namun masih mengeluarkan asap tebal sehingga menjejaskan aktiviti harian penduduk di kampung berhampiran semalam.

JOHOR BAHRU – Kelegaan penduduk di dua buah kampung di sini selepas kebakaran Tapak Pelupusan Sampah Tanjung Langsat (TPSTL) berjaya dipadamkan pada Jumaat lalu rupanya masih belum selesai apabila mereka masih diselubungi asap tebal sehingga mencetuskan jerebu.

Masalah itu bukan hanya menghantui 200 penduduk yang mendiami Kampung Tanjung Langsat, Pasir Gudang di sini, malah turut memberi kesan kepada Kampung Perigi Acheh dan kawasan industri berhampiran.

Pengerusi Badan Bertindak Penduduk Isu Pencemaran Alam, Mohd. Rafee Abdullah berkata, pada awalnya penduduk lega apabila kebakaran di tapak pelupusan itu berjaya dipadamkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor pada Jumaat lalu.

“Walaupun kami dimaklumkan pihak bomba telah mengambil masa enam jam untuk memadam kebakaran, namun keesokan harinya kebakaran itu masih ada dan makin besar. Sehingga hari ini, kita nampak asap sudah mula menyelubungi sekitar kampung.

“Kampung-kampung ini terletak hanya kira-kira satu kilometer dari kawasan kebakaran,” katanya di sini semalam.

Beliau mendakwa, suasana agak teruk pada hari kelmarin ekoran angin kencang sehingga membawa asap tebal ke sekitar kawasan kampung.

“Itu belum bau busuk yang terpaksa kami hidu, malah anak saya yang berusia 11 tahun tidak dapat bersekolah kerana batuk,” katanya.

Jumaat lalu, kebakaran yang berlaku itu memaksa Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) mengeluarkan notis penutupan sementara pengoperasian TPSTL berkeluasan 3.24 hektar dengan kebakaran bahagian atas sel tapak pelupusan dapat dikawal.

Notis penutupan selama dua minggu bermula Jumaat itu, dikeluarkan kepada pihak SWCorp dan pengurusan Seelong Sanitary Landfill.

Katanya, tapak tersebut seharusnya dipindahkan ke lokasi lain yang jauh dari kawasan industri dan penempatan.

Seorang penduduk, Yusof Othman, 53, berkata, kebakaran di TPSTL sudah banyak kali berlaku dan sebelum ini pernah berlarutan sehingga dua minggu dan menjejaskan kira-kira 200 penduduk di kampung ini.

“Asap dari kebakaran dapat dihidu dan menyelubungi kampung pada masa tertentu mengikut arah angin bertiup. Asap yang berbau sampah itu dikhua­tiri tidak selamat untuk kesihatan kanak-kanak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI