fbpx

Terengganu mahu kurang bergantung royalti petroleum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Samsuri (enam dari kanan) bersama barisan Exco kerajaan negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu yang baru dibentuk akan memberi fokus kepada usaha menambah hasil pendapatan negeri bagi mengurangkan kebergantungan terhadap royalti petroleum.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, antara tumpuan utamanya adalah mewujudkan lebih banyak kawasan perindustrian baharu seiring kewujudan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada tahun 2027.

Beliau berkata, pembangunan pusat perindustrian baharu tersebut terutama di utara Terengganu secara tidak langsung dapat merancakkan lagi perkhidmatan kargo sekali gus mengubah wajah pembangunan ekonomi di Setiu dan Besut.

“Kita kena bergerak sekarang kerana jika baru kita hendak buat kawasan industri apabila ECRL sudah beroperasi dalam masa tiga tahun nanti, ia telah terlambat.

“Seluruh jentera telah bergerak ke arah mewujudkan kawasan industri baharu untuk mengambil manfaat daripada kewujudan ECRL terutama di kawasan kurang diberi fokus sebelum ini seperti Besut dan Setiu,” katanya di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri Terengganu telah mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat dan Kedutaan Korea Selatan berhubung peluang pelaburan industri hidrogen di negeri ini.

Jelas beliau, kerajaan negeri Terengganu juga menjangka akan memperolehi hasil sebanyak RM100 juta setahun setelah menggubal Enakmen Sumber Air Terengganu (ESAT) pada tahun 2020.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri Terengganu juga akan melakukan penilaian semula terhadap kadar cukai cukai bahan-bahan galian dan mineral yang kini sudah berusia hampir 20 tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI