fbpx

Potensi besar teknologi dron pada ekonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TEKNOLOGI dron dilihat mempunyai potensi besar untuk membentuk jambatan merentasi industri.

SEBAGAI langkah memupuk pertumbuhan industri berteknologi tinggi, Malaysian Research Accelerator For Technology And Innovation (MRANTI) secara rasmi melancarkan Global Accelerator Programme (GAP) 2023.

Program tersebut bakal membuka pintu kepada 20 syarikat yang berasal dari Malaysia, Turki dan Rusia bagi memfokuskan perbincangan terhadap tiga industri berpotensi tinggi iaitu perubatan dan penjagaan kesihatan, pertanian serta teknologi dron.

Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI, Dzuleira Abu Bakar berkata, pemilihan sektor strategik itu sejajar dengan rancangan ekonomi Malaysia untuk meletakkan negara di landasan betul.

Katanya, Malaysia berhasrat menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2025 dan muncul sebagai ekonomi trilion dolar menjelang 2036.

“Melalui GAP, peserta mendapat lebih daripada sekadar ilmu dan idea. Mereka juga mendapat akses kepada rangkaian luas pakar industri dan rakan kongsi kami.

“Matlamat utama kami adalah memainkan peranan penting dalam memupuk ekosistem inovasi yang berkembang maju dan mampan, di mana idea serta inovasi berkembang,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian GAP 2023 baru-baru ini.

Tambahnya, perwakilan pada tahun ini terdiri daripada 12 syarikat daripada penjagaan kesihatan, lima syarikat dari pertanian, dua syarikat teknologi dron, serta satu industri perniagaan dan kewangan.

Kongsinya lagi, syarikat-syarikat itu mempunyai peluang untuk disalurkan ke Malaysia’s National Technology and Innovation Sandbox (NTIS).

Sebanyak 20 syarikat dari dalam dan luar negara menyertai program GAP 2023 yang dianjurkan oleh MRANTI.

Tambahnya, menerusi NTIS, mereka dapat menguji produk dalam persekitaran langsung, memperoleh pandangan berharga dan memperhalusi inovasi secara nyata.

Strategi itu bertujuan memupuk peluang kerjasama yang berharga selepas tamat pengajian, meningkatkan prospek peserta untuk kejayaan jangka panjang dalam pasaran.

“Pemilihan sektor teras kami jelas sejak awal.

“Industri perubatan dan penjagaan kesihatan hanya meningkat selepas penularan wabak, manakala inovasi teknologi menyaksikan kemajuan besar dalam sektor itu.

“Sementara itu, pertanian telah menjadi topik perbualan penting di peringkat nasional dengan keselamatan makanan merupakan isu yang semakin membimbangkan di peringkat global.

“Bagaimanapun, teknologi dron dilihat mempunyai potensi paling besar untuk membentuk jambatan merentasi industri,” tambahnya.

Penekanan yang semakin meningkat terhadap sektor teknologi dron di Malaysia didorong oleh kesan mendalamnya terhadap ekonomi negara.
Unjuran mencadangkan ia boleh menyumbang RM50.71 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mewujudkan lebih 100,000 peluang pekerjaan menjelang 2030.

“Fokus kami pada teknologi dron adalah melengkapkan kedudukan Malaysia dalam kalangan semua negara Asia Tenggara bagi Indeks Kesediaan Dron (DRI) 2023.

“Kesediaan teras negara untuk dron telah menyaksikan peningkatan yang mencapai 60 peratus dalam DRI.

“Ini merupakan komitmen Malaysia untuk mempercepatkan potensi dalam teknologi dron,” jelasnya.

Untuk makluman, MRANTI adalah agensi pengkomersialan penyelidikan pusat Malaysia yang menjejaki pembangunan inovasi teknologi daripada idea kepada impak.

Ia juga menyasarkan usaha mengembangkan saluran pembekalan inovasi Malaysia dan membuka kunci nilai penyelidikan serta pembangunan baharu dengan memastikan peralihan yang berkesan dalam kitaran hayat pengkomersilan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI