fbpx

[VIDEO] Ibu kandung, ‘tomboi’ mengaku tak bersalah aniaya, abai kanak-kanak 7 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ibu tunggal (tengah) bersama rakan 'tomboi', Awin Chua (kiri) yang didakwa atas pertuduhan menganiayai seorang kanak-kanak berumur tujuh tahun di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI/KOSMO!

JOHOR BAHRU – Seorang ibu tunggal dan rakan serumahnya, iaitu seorang wanita tomboi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas atas dua pertuduhan menganiaya dan mengabai anak kandungnya sejak bulan lalu.

Wanita itu dan Awiin Chua, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

Berdasarkan pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa dengan niat telah menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang di berada bawah pemeliharaan mereka sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Manakala, bagi pertuduhan kedua, ibu tunggal tersebut dan Awiin didakwa dengan niat mengabaikan kanak-kanak yang juga anak kandung tertuduh ketika mangsa berada di bawah pemeliharaan mereka.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Bandar Layangkasa, Pasir Gudang di sini, antara 1 Julai hingga 9 Ogos, tahun ini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Peguam kedua-dua tertuduh, Abd. Rahim Ali meminta mahkamah memberikan jaminan rendah kepada anak guamnya kerana mereka masih belum didapati bersalah.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diyana Zubir mencadangkan mahkamah memberi jamin sebanyak RM30,000 kepada setiap tertuduh dengan syarat tambahan termasuk dilarang menghampiri atau berhubung dengan mangsa.

“Tertuduh pertama adalah ibu kandung kepada mangsa, dia telah mengambil kanak-kanak itu daripada jagaan datuk dan nenek di Pokok Sena, Kedah sebelum dibawa ke negeri ini. Namun dalam gagal menjaga sehingga terdapat kecederaan fizikal serta diabaikan.

“Tertuduh kedua pula merupakan seorang warga Singapura yang tinggal serumah dengan tertuduh pertama, walaupun tiada pertalian darah tetapi tertuduh turut diberi tanggungjawab menjaga mangsa.

“Kanak-kanak itu kini berada di hospital dan dibawah jagaan bapa saudaranya sementara menunggu pihak JKM memutuskan hak penjagaan,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 kepada ibu kandung, manakala Awiin diberikan jaminan sebanyak RM20,000.

Fatimah turut mengarahkan kedua-dua tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai, beliau turut menetapkan tarikh sebutan semula pada 27 September depan sementara menunggu laporan perubatan mangsa dari Hospital Sultan Ismail (HSI). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI