fbpx

PKR kemuka 1 calon TKM, 2 Exco Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Bakhtiar

GEORGE TOWN – Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah mengemukakan tiga nama calon bagi jawatan Timbalan Ketua Menteri (TKM) dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pulau Pinang yang bakal dilantik dalam kerajaan negeri.

Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, mereka terdiri dua calon Melayu dan seorang calon berbangsa Cina yang masing-masing memperoleh kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu.

“Kami sudah hantar tiga nama semalam untuk calon bagi jawatan TKM dan dua Exco. Terpulang kepada pihak atasan.

“Tetapi itu masih subjek dan kita tunggu approval (keputusan) daripada pihak atasan termasuk Ketua Menteri (Chow Kon Yeow) sendiri. Tak boleh kongsi nama calon takut mereka tidak dipilih nanti,” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini.

Mengulas mengenai poster bergambar dan ucapan tahniah atas pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sebagai TKM 1 manakala ADUN Batu Uban, A. Kumaresan, TKM 2, beliau memberitahu yang perkara tersebut belum diputuskan peringkat atasan.

“Saya ingatkan kepada siapa yang sebar (poster) agar hentikan berbuat demikian. Jangan beri tekanan kepada pihak atasan kerana ini seolah-olah beri tekanan kepada pihak Ketua Menteri untuk membuat keputusan,” ujarnya.

Ketika ini, senarai nama Exco Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang baharu masih menjadi tanda-tanya memandangkan kurang 24 jam sahaja lagi akan berlangsungnya majlis angkat sumpah Exco di Dewan Sri Pinang, pada pukul 10 pagi, esok.

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengesahkan seorang ADUN BN akan menganggotai kerajaan Pulau Pinang.

Perkara itu dipersetujui selepas dua kerusi dimenangi calon BN daripada UMNO pada PRN Pulau Pinang iaitu Dewan Undangan Negeri Bertam dan Sungai Acheh.

Pada PRN Sabtu lalu, gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang melakar sejarah baharu apabila berjaya membentuk Kerajaan Perpaduan selepas memenangi 29 kerusi daripada keseluruhan 40 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Mengikut pecahan, DAP memenangi kesemua 19 kerusi yang ditandingi mereka, PKR (7), BN (2) dan Amanah (1). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI