fbpx

Pembaca berita buat kejutan, muka iras arwah anak sulung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muka Muhammed Ahmad (kiri, tengah) yang seakan-akan mirip dengan allahyarham Mohd. Afiq (kanan).

PETALING JAYA – Seorang penyampai berita televisyen tempatan membuat kejutan kepada sepasang suami isteri ekoran mukanya yang mirip dengan arwah anak pasangan tersebut.

Pembaca berita dikenali sebagai Muhammed Ahmad Hamdan itu menemui keluarga tersebut di rumah mereka di Batang Kali, Hulu Selangor pada Ahad lalu.

Muhammed Ahmad mempunyai wajah seakan-akan Allahyarham Mohd. Afiq Adnan, 36, iaitu anak sulung kepada pasangan suami isteri tersebut yang meninggal dunia pada dua tahun lalu akibat Covid-19.

Video pertemuan yang menyayat hati itu dimuat naik oleh adik Allahyarham Mohd. Afiq, Nur Aqilah Adnan, 24, di akaun TikToknya sehingga tular sejak semalam.

Nur Aqilah berkata, pada awalnya, dia hanya meluahkan perasaan rindu kepada pembaca berita itu menerusi kiriman mesej di Instagram sempena genap dua tahun kematian abang sulungnya.

Ujarnya yang merupakan anak bongsu daripada empat adik-beradik itu, dia tidak menyangka Muhammed Ahmad membalas mesejnya dan menawarkan untuk datang sendiri ke rumah mereka.

“Saya memang tergerak hati nak mesej, sebab rindu dengan arwah abang. Tidak sangka encik Muhammed Ahmad itu balas dan ‘offer’ kalau tidak keberatan dia ingin datang rumah.

“Kami sekeluarga memang dah lama tengok encik Muhammed Ahmad di kaca televisyen dan mak memang nak sangat jumpa dia. Masa hari kejadian, mak ayah memang tidak tahu siapa tetamu istimewa yang datang.

“Bila mak keluar dapur dia terkejut, dan sangat sebak kerana rindu sangat dengan arwah abang. Mak peluk seperti mahu lepas rindu dengan anak kesayangannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo!

Tambahnya, walaupun bukan seratus peratus mirip, namun dari segi mata, mulut dan pipi memang sama dengan arwah abangnya yang turut meninggalkan balu bersama dua orang anak.

Sehingga kini videonya telah mendapat 304,100 tontonan, 26,300 tanda suka dan 2,438 perkongsian.

Dalam pada itu, Nur Aqilah turut berkata, mereka sekeluarga bersyukur Allah hadirkan insan yang mirip sama dengan arwah abangnya.

Katanya, dengan cara itu, mereka adik-beradik dapat peluang untuk membahagiakan ibu bapa mereka yang sememangnya terlampau rindu dengan arwah abang.

“Encik Muhammed Ahmad pun sangat peramah, baik, dan seorang rendah diri. Mak pun siap ajak dia tidur rumah, seperti dah akrab sangat.

“Sebelum ini pun kenalan terdekat pernah beritahu kami yang muka pembaca berita iras dengan arwah abang. Harap kami sekeluarga dapat terus berhubung untuk eratkan silaturrahim ini,” luahnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI