fbpx

KPWKM perkasa suara wanita, kanak-kanak perempuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nancy Shukri

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) meraikan Hari Penduduk Sedunia 2023 hari ini.

Tema “Mengorak Kuasa Kesaksamaan Gender: Memperkasa Suara Wanita Dan Kanak-Kanak Perempuan Bagi Membuka Peluang Dunia Tanpa Batas” dipilih oleh United Nations Population Fund (UNFPA) berpandukan isu global mengenai ketidaksamaan gender dan diskriminasi di setiap negara.

Hari Penduduk Sedunia yang disambut pada 11 Julai setiap tahun adalah bertujuan membangkitkan kesedaran masyarakat mengenai isu-isu kependudukan dunia.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri yang merasmikan majlis ini secara maya berkata, walaupun negara sedang melalui kemajuan yang memberangsangkan dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), masih terdapat ruang yang boleh diperbaiki terutamanya dalam mencapai matlamat kelima ini iaitu kesaksamaan gender dan pemerkasaan wanita.

Mengikut laporan Jurang Gender Global 2022 (Global Gender Gap Report 2022), Malaysia berada di tangga ke-103 daripada 146 negara bagi aspek merapatkan kesaksamaan gender.

“Kadar penyertaan tenaga buruh wanita dan penglibatan wanita dalam kelompok pembuat keputusan yang rendah telah mempengaruhi kedudukan Malaysia dalam laporan tersebut.

“Hal ini menuntut kesedaran di setiap peringkat institusi agar hak, peluang dan perlindungan diberikan kepada setiap individu tanpa mengira jantina atau peringkat umur.

“Walaupun peratusan penjawat awam wanita yang berada di peringkat pembuat keputusan di peringkat Kerajaan telah meningkat kepada 38.8 peratus namun di sektor swasta secara umumnya masih ketinggalan,” ujarnya menerusi rakaman video yang disiarkan dalam Forum Hari Penduduk Sedunia 2023 di Rumah Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), di sini hari ini.

Mengulas lanjut forum berkenaan, Pengerusi LPPKN, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, forum itu adalah ruang berdiskusi solusi terbaik mengenai pemerkasaan wanita dan kanak-kanak perempuan dalam aspek pendidikan, ekonomi dan juga kesihatan.

Beliau bersama tiga lagi panel iaitu Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, UNFPA Malaysia, Tengku Aira Tengku Razif dan Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi UM, Dr Elya Nabila Abdul Bahri.

“Fokus LPPKN bermula dari keluarga, supaya tidak wujud stereotaip sekali gus mengetengahkan peranan ahli keluarga masing-masing.

“Forum ini sangat bagus untuk kita bincangkan terutamanya mengenai cuti untuk ibu bapa yang kita bahaskan sebentar tadi,” jelasnya.

Turut hadir dalam majlis ini adalah Ketua Pengarah LPPKN, Abdul Shukur Abdullah dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Malaya , Prof. Dr. Sabri Musa. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI