fbpx

Nurzahirah menyelam pada kedalaman 50 meter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NURZAHIRAH melanjutkan pengajian dalam bidang sains marin ke peringkat tertinggi kerana mahu mendalami ilmu tersebut.

MENEROKAI dasar laut dan menyaksikan kepelbagaian hidupan marin dengan lebih dekat melalui mata kasar adalah pengalaman yang cukup berharga.

Untuk merasai pengalaman tersebut, seseorang itu perlu melakukan aktiviti scuba diving atau selam skuba.

Nurzahirah Kamarudin antara salah seorang yang aktif dengan aktiviti itu.

Dia yang sedang mengikuti pengajian dalam bidang sains marin di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) perlu aktif dengan aktiviti selam skuba bagi menyelesaikan penyelidikannya.

“Saya aktif dengan aktiviti selam skuba sejak 2014 lagi di mana ketika itu saya sedang mengikuti pengajian tahun akhir bagi peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Biologi Marin di UMT.

“Pada ketika itu, saya perlu mengambil lesen selam skuba ini kerana ia adalah di bawah salah satu subjek pengajian yang saya ikuti,” katanya yang kini berusia 32 tahun dan mengikuti pengajian doktor falsafah (PhD) di institusi sama.

Tambahnya, sejak itu dia telah jatuh cinta dengan aktiviti menyelam skuba dan aktif sehingga kini.

Nurzahirah menjelaskan, untuk pengajian PhD dia kini melakukan penyelidikan tentang kesan perubahan iklim terhadap terumbu karang.

Menurutnya, kajian itu bagi menjawab adakah terumbu karang boleh terus hidup sekiranya perubahan suhu iklim semakin tinggi.

“Kita tahu bahawa banyak habitat terumbu karang di sekitar 20 meter dalam dasar laut, tetapi kita tidak tahu impak terhadap terumbu karang ini jika berlaku perubahan suhu di bahagian dalam dasar laut akibat perubahan iklim.

“Melalui penyelidikan, saya juga mahu melihat sama ada terumbu karang ini, jika terkesan, adakah kita boleh membawanya ke bahagian berkedalaman lebih dalam agar tidak pupus dan boleh terus terpelihara,” jelasnya yang berasal dari Selangor.

Nurzahirah melakukan penyelidikan terumbu karang di dasar laut.

Bagi membolehkan penyelidikan itu dilakukan, Nurzahirah juga perlu mengambil lesen khas yang dinamakan sebagai Technical Diving.

Melalui lesen itu, dia boleh menyelam pada kedalaman sehingga 50 meter bagi melakukan penyelidikan di dasar laut.

“Technical Diving ini bukan seperti menyelam skuba biasa yang hanya menggunakan 21 peratus oksigen.

“Untuk Technical Diving, kita menggunakan oksigen yang lebih daripada itu dan biasanya kita akan menyelam menggunakan tiga atau empat tangki oksigen,” terangnya.

Tambah Nurzahirah, dia pernah menyelam pada kedalaman 50 meter di Pulau Sipadan, Sabah sebelum ini.

Berbicara tentang pemilihan Sains Marin sebagai subjek pilihannya dalam meneruskan pengajian, katanya, sejak kecil, dia sudah jatuh cinta dengan kehidupan marin.

Menurutnya, sewaktu kecil dia suka menonton rancangan National Geographic terutama yang berkisarkan cerita tentang kehidupan marin.

“Bagi saya, kehidupan marin ini adalah sesuatu yang menarik dan setiap kali turun ke dasar laut kita akan belajar sesuatu yang baharu.

“Atas sebab itu, saya memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang ini bagi membolehkan saya belajar banyak tentang kehidupan marin,” terangnya.

Kongsinya, dia juga memilih untuk menyambung pengajian ke peringkat PhD kerana berpeluang untuk belajar dengan lebih spesifik dalam bidang itu terutama berkaitan terumbu karang.

Selain itu, jelas Nurzahirah, dia juga suka berkongsi ilmu berkaitan kehidupan marin dengan orang lain.Melalui penyelidikan dilakukan dia akan memperoleh satu ilmu baharu yang pastinya boleh disebarkan kepada orang awam untuk kepentingan bersama.

Sementara itu, Nurzahirah menjelaskan, untuk masa hadapan, jika diberi peluang. setelah tamat pengajian dia ingin menjadi seorang pensyarah.

“Jika ada rezeki, saya ingin menjadi pensyarah dalam bidang ini.

“Namun, jika belum ada rezeki mungkin saya akan guna kemahiran saya ada ini dengan jadi jurulatih selam skuba,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI