SETIU – Seorang pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) maut sewaktu mahu menyelamatkan rakannya yang hampir lemas di Lata Ulu Kasar di sini hari ini.
Insiden pada pukul 1.48 tengah hari itu mengorbankan Suraya Hassan, 22, yang merupakan pelajar jurusan Sains Gunaan Nanofizik.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd. Zain Md. Dris berkata, sewaktu kejadian, mangsa bersama beberapa rakan lain yang merupakan pelajar UMT sedang mandi-manda di kawasan riadah terbabit.
“Seorang rakan mereka yang dikenali sebagai Adilah dikatakan tiba-tiba meminta pertolongan kerana hampir lemas sebelum Suraya bertindak mahu menyelamatkannya.
“Seorang lagi rakan Suraya iaitu Nur Najwa Farina Mohamed, 25, ikut serta mahu menyelamatkan Adilah mereka pula yang lemas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Zain berkata, Nur Najwa Farina terselamat dengan bantuan pengunjung lain yang menyaksikan kejadian.
Beliau berkata, mayat Suraya yang berasal dari Parit Haji Noor, Batu Pahat, Johor telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu di sini untuk tindakan lanjut.
“Nur Najwa Farina pula dikejarkan ke unit kecemasan hospital sama untuk menerima rawatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














