fbpx

Aminuddin angkat sumpah MB Negeri Sembilan penggal kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aminuddin mengangkat sumpah jawatan di Istana Besar Seri Menanti, hari ini.

KUALA PILAH – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar bagi penggal kedua berturut-turut.

Aminuddin, 56, yang juga Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti di sini.

Turut berangkat ke Istiadat Penyerahan Watikah, Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan itu ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud da dua anakanda baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al’Abidin.

Turut hadir isteri Aminuddin, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Pilihan Raya Negeri Sembilan yang berakhir pada Sabtu lalu menyaksikan Barisan Nasional (BN) dan PH berjaya menguasai majoriti dua pertiga daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

PH yang diwakili DAP, PKR dan Amanah memenangi sebanyak 17 buah kerusi DUN manakala BN pula menang di 14 buah kerusi. Perikatan Nasional (PN) pula memenangi sebanyak lima buah kerusi.

Aminuddin yang bertanding di DUN Sikamat memperoleh sebanyak 12,730 undi menewaskan calon PN, Ahmad Raihan Muhamad Hilal yang mendapat 10,068 undi serta dua calon Bebas iaitu Bujang Abu (83 undi) dan Mohammed Hafiz Baharudin (339 undi).

Beliau memperoleh majoriti sebanyak 2,662 undi.

Dalam ucapannya pada istiadat itu, Aminuddin menjunjung kasih atas perkenan Tuanku Muhriz yang melantik beliau sekali lagi menerajui kerajaan negeri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI