fbpx

PRN: Istana antara lokasi strategik dikawal ketat polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin

KUALA LUMPUR – Istana negeri dan pejabat pentadbiran kerajaan negeri antara lokasi akan dikawal ketat pihak polis sebaik keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri Sabtu ini diumumkan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, langkah itu berikutan lokasi berkenaan kemungkinan menjadi tumpuan pihak tertentu berkumpul bagi proses perlantikan Menteri Besar dan tujuan yang lain.

Menurut beliau, keselamatan di sesebuah Istana adalah amat penting kerana pihaknya tidak mahu berlaku apa-apa gangguan pada waktu tengah malam sebaik keputusan PRN diumumkan.

“PDRM akan memastikan peralihan kepimpinan sesebuah kerajaan negeri berlangsung dalam keadaan aman berdasarkan perlembagaan,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman hari ini.

Menurut beliau, sejak sebelum penamaan calon, hari penamaan calon dan semasa tempoh berkempen, pelaksanaan penugasan pada PRN di enam negeri sudah bermula.

“Apabila dibubarkan sahaja Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan enam negeri dalam PRN ini, kita (polis) sudah memulakan tugas menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

“Seramai 36,492 pegawai dan anggota PDRM sudah bersedia mengawasi perjalanan PRN dengan dibantu Polis Simpanan Persekutuan (PSP), Pasukan Gerakan Udara (PGU) dan Pasukan Gerakan Am (PGA),” kata beliau.

Dalam pada itu, Razarudin turut menzahirkan komitmen kepada semua pihak termasuk calon-calon PRN, penyokong dan pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka tanpa rasa takut atau dihalang oleh mana-mana pihak.

“Saya sebagai KPN, timbalan saya Datuk Seri Ayob Khan serta Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah di enam negeri PRN ini, kami telah bersedia dan anda boleh keluar mengundi dengan selamat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Razarudin memaklumkan pihaknya menerima sebanyak 1,524 laporan polis dibuat sepanjang Op PRN di enam negeri sejak hari penamaan calon (29 Julai) sehingga Selasa lalu.

Laporan polis tertinggi direkodkan di Selangor dengan 629 jumlah laporan, diikuti Terengganu (289), Kedah (249), Kelantan (213), Negeri Sembilan (111) dan Pulau Pinang (33).

Menerusi laporan tersebut, sebanyak 26 kertas siasatan dibuka di Selangor, diikuti Kedah (23), Pulau Pinang (16), Terengganu (15), Negeri Sembilan (14) dan Kelantan (9).

Direkodkan sebanyak empat tangkapan sepanjang Op PRN dan antara kesalahan yang dikesan adalah di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan perbuatan khianat dan Seksyen 435 kanun yang sama iaitu khianat dengan api. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI