JOHOR BAHRU – Keputusan bedah siasat pertama ke atas wanita yang mati selepas menerima suntikan untuk membesarkan payudaranya pada hujung bulan lalu mendapati anggota bahagian dada mangsa telah dipenuhi kuman.
Suami mangsa yang mahu dikenali sebagai Wong, 35, berkata, keputusan itu dimaklumkan oleh pihak hospital hasil bedah siasat baru-baru ini.
Bagaimanapun, Wong menjelaskan bedah siasat kedua pula hanya akan diperoleh dalam tempoh tiga bulan selepas sampel darah isterinya dihantar ke makmal.
keputusan bedah siasatan pertama mendapati bahagian payudaranya dipenuhi kuman.
“Saya telah membuat keputusan untuk membuat aduan secara rasmi kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) kerana mahu menuntut bela di atas kematian mendiang isteri.
“Aduan akan dilaporkan dalam tempoh terdekat kerana saya tidak mahu kejadian yang sama berulang pada masa depan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Wong memberitahu, JKJN juga telah memberi respon dan menetapkan tarikh 13 Ogos depan untuk mengadakan pertemuan berhubung isu ini.
Kosmo! semalam melaporkan mengenai ibu kepada dua anak dikenali sebagai Chen, 29, yang maut selepas empat hari menjalani suntikan membesarkan payudara yang didakwa dilakukan di sebuah rumah dua tingkat di Skudai di sini.
Chen meninggal dunia pada pukul 7 pagi 2 Ogos lalu ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di sini.
Difahamkan, wanita tersebut hanya merancang untuk menjalani pembedahan ‘menarik benang’ muka mikro untuk menjadikan kulit wajah lebih tegang pada 29 Julai lalu.
Bagaimanapun, pakar kecantikan tidak bertauliah terbabit memujuk suri rumah itu supaya turut menjalani prosedur suntikan bagi membesarkan payudara.
Menurut Wong, sebelum ini dia telah membuat laporan polis berhubung kematian isterinya pada Ahad lalu.
Tambahnya, dia berharap pemilik rawatan kecantikan itu diambil tindakan undang-undang selepas apa yang berlaku.
“Mereka beroperasi di kawasan kediaman, dan dipercayai tidak mempunyai lesen untuk berbuat demikian,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon turut menasihati keluarga berkenaan untuk segera membuat aduan rasmi kepada JKNJ.
Beliau dilaporkan berkata, sekiranya aduan rasmi dibuat ahli keluarga mangsa, JKNJ boleh menyiasat kes berkenaan di bawah Akta 586.
“Akta 586 ialah Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Siswa 1998 bagi memastikan pusat rawatan kecantikan tersebut mematuhi Prosedur Operasi Standard dan juga mempunyai lesen profesional yang berkaitan,” jelas beliau.
Tambahnya, masyarakat awam turut diingatkan untuk mendapatkan rawatan atau menjalani prosedur kesihatan di premis yang mempunyai lesen sah dan kebenaran berbuat demikian daripada Kementerian Kesihatan (KKM).
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin mengesahkan kejadian itu dan pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.













