fbpx

PRN: Jangan dakwa sahaja, buat laporan polis – Ayob

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ayob Khan ketika sidang akhbar di IPK Selangor. - Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

SHAH ALAM – “Terus lapor polis segera kalau ada ancaman keselamatan”.

Demikian tegas Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay terhadap sebarang dakwaan isu berkaitan keselamatan sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ayob Khan menjelaskan, istilah ‘diperangkap’ didakwa digunakan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor adalah mungkin bermaksud terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

“Biasalah kalau hendak pergi syarahan di kempen ini, pastinya akan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, mungkin itu yang dimaksudkan.

“Ini bukan soal Sanusi sahaja atau sesiapa, ini melibatkan semua calon yang bertanding, sekiranya ada atau wujud soal ancaman keselamatan, lapor terus kepada pihak polis,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau proses pengundian di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Kosmo! semalam melaporkan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden menyatakan Muhammad Sanus didakwa dinasihatkan untuk tidak menghadiri Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) bersama MB Kedah yang berlangsung di padang awam Taman Ria, di sini malam tadi, atas tujuan keselamatan.

Ayob Khan menegaskan, polis sama sekali tidak berkompromi berkaitan soal keselamatan sepanjang PRN ini.

“Jangan sekadar mendakwa sahaja, tetapi tiada sebarang laporan yang dibuat, yang mana ada elemen tersebut termasuk kalau ada yang nak buat kacau bilau sebagainya kita akan ambil tindakan, itu pasti.

“Perkara berkaitan isu keselamatan ini sudah diulas Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain bahawa ia adalah terjamin dibawah kawalan pihak polis,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan agar semua pihak bersikap matang dan sentiasa menjaga keharmonian dan mematuhi peraturan sepanjang PRN ini.

“Kita semua sudah matang dan jauh sekali untuk melakukan tindakan menyalahi undang-undang.

“Namun ada segelintir yang tidak bertindak sedemikian, tidak matang ketika berucap atau berkempen,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI