fbpx

Inspektor menang kes dakwaan suapan rokok seludup, ketum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KALVINDER (kiri) dan Baljit di pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

MELAKA – Mahkamah Sesyen di sini, hari ini membebaskan dan melepaskan seorang Inspektor daripada pertuduhan menerima suapan bernilai RM6,200 yang didakwa bagi melindungi kes rokok seludup dan ketum, empat tahun lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Kalvinder Singh, 36, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie yang ditimbulkan.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh sebagai Inspektor yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin didakwa menerima suapan berbentuk wang tunai dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM6,200.

Suapan tanpa balasan itu diterima daripada Mohd. Hadaffy Mokhtar Ruzaini dengan mengetahui individu itu mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Tindakan itu dilakukan tertuduh di tempat kerjanya antara pukul 11.30 malam 8 Mac sehingga 2 pagi di 9 Mac 2019.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Difahamkan tertuduh menerima suapan tersebut bagi menutup kes membabitkan daun ketum dan rokok seludup.

Terdahulu, tertuduh telah diwakili Peguam Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwan Shah Abdul Samat.

Seramai 21 saksi pendakwaan telah dipanggil sepanjang perbicaraan bermula pada 12 April 2022. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI