fbpx

Anna-Mei Xing teruja beraksi pada Kejohanan Dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANNA-MEI XING menjadikan Malaysia memiliki tiga wakil beregu wanita pada Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark bermula 21 Ogos ini.

BEREGU wanita negara, Anna Cheong-Teoh Mei Xing menerima berita gembira apabila mereka mendapat slot untuk beraksi pada Kejohanan Badminton Du­nia yang dijadualkan berlangsung di Copenhagen, Denmark bermula 21 hingga 27 Ogos ini.

Justeru, ia akan menjadi kejohanan sulung buat Anna bagi saingan musim ini selepas dia terpaksa berehat panjang akibat kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) yang dialaminya pada Oktober tahun lalu.

Berita mengenai kelayakan Anna-Mei Xing ke Kejohanan Dunia boleh dianggap agak mengejutkan memandangkan beregu No. 250 dunia itu berada di kedudukan kesembilan dalam senarai simpanan.

Bagaimanapun, rezeki menjadi milik Anna-Mei Xing apabila beberapa pasangan yang berada di kedudukan lebih atas dalam senarai simpanan mengambil keputusan untuk menolak pelawaan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Anna tanpa berselindung mengakui, agak terkejut dengan perkembangan tersebut memandangkan kejohanan Terbuka China bulan depan sepatutnya menjadi penampilan pertama mereka pada saingan musim ini.

“Saya akui terkejut kerana saya langsung tidak menjangka kejohanan sebesar ini akan menjadi kejohanan pertama saya
selepas kembali daripada kecederaan. Rasa agak te­ruja tetapi saya mahu kekal tenang.

“Secara jujur, memang saya tidak terlalu berharap untuk beraksi di Kejohanan Dunia, lebih-lebih lagi sudah hampir dengan pertandingan. Bagaimanapun, saya tetap rindu untuk turun beraksi,” katanya.

Memandangkan Anna-Mei Xing akan turut menggalas cabaran negara di Copenhagen nanti, Malaysia kini memiliki tiga wakil dalam acara beregu wanita apabila turut diwakili Pearly Tan-M. Thinaah dan Vivian Hoo-Lim Chiew Sien.

Untuk rekod, pada edisi tahun lalu yang berlangsung di Tokyo, Jepun, langkah Anna-Mei Xing tersekat di pusingan kedua apabila akur dengan kekalahan 13-21, 12-21 kepada beregu Korea Selatan, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI