fbpx

UMT komited lakukan penyelidikan di Antartika

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salleh (dua dari kiri) menyampaikan sijil pelantikan Penyandang Kursi Sains Antartika kepada J. Siegert (kanan) pada Forum Antarabangsa Antartika dan Perubahan Iklim 2023 di Kuala Terengganu baru-baru ini.

ANTARTIKA yang menyimpan kira-kira 90 peratus air tawar Bumi dalam bentuk air, glasier dan bongkah ais tidak terlepas mendapat kesan buruk akibat pemanasan global.

Masalah tersebut akhirnya akan membawa kepada bencana ke seluruh Bumi seperti kemarau melampau, gelombang haba dan banjir besar.

Oleh yang demikian, lebih 500 penyelidik, saintis, penggubal polisi serta pelajar universiti dari dalam dan luar negara menyertai Forum Antarabangsa Antartika dan Perubahan Iklim 2023 yang diadakan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kuala Terengganu, Terengganu.

Forum tersebut dianjurkan bagi membentang hasil penyelidikan dan membincangkan solusi terbaik dalam menangani isu perubahan iklim global.

Penganjuran itu sebagai tindakan menyokong Perjanjian Iklim Paris yang ditandatangani oleh 196 negara dalam Persidangan Perubahan Iklim Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu di Paris, Perancis pada 12 Disember 2015.
Ia merupakan satu usaha melindungi dan memulihara alam sekitar.

Dalam pada itu, UMT dengan kerjasama erat Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) mengambil langkah proaktif dengan meletakkan Malaysia sebagai negara yang turut prihatin terhadap perubahan iklim global menerusi kerja penyelidikan berkaitan Antartika.

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd. Ghaffar berbesar hati dan menyambut baik pengiktirafan yang diberikan menerusi Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah (BOT), YPASM pada Disember 2020 lalu atas kepercayaan memilih UMT sebagai penyandang Kursi Sains Antartika.

“Penubuhan Kursi Sains Antartika ini merupakan salah satu strategi untuk membolehkan Malaysia menyumbang dalam penyelidikan sains di Antartika.

“Ia cukup signifikan dan diiktiraf oleh Triti Antartika yang bertanggungjawab dalam menjaga hal ehwal Antartika.

“UMT amat berbesar hati dan komited dalam menganjurkan program-program yang memberikan keutamaan terhadap isu-isu Antartika.

“Kami berharap ia bakal memberi impak besar kepada negeri Terengganu dan Malaysia.

“Pihaknya juga akan melakukan kempen kesedaran kepada masyarakat tentang pengaruh benua Antartika kepada perubahan iklim terhadap dunia,” katanya sempena Majlis Perasmian Pembukaan Forum Antarabangsa Antartika dan Perubahan Iklim 2023 baru-baru ini.

Turut hadir bagi menyempurnakan gimik perasmian pembukaan forum tersebut ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Penyelidikan, Tan Sri Datuk Seri Salleh Mohd. Nor.

Pada perasmian itu turut menyaksikan Prof, Dr. Martin J. Siegert dari Imperial College, United Kingdom diangkat sebagai Penyandang Kursi Sains Antartika di atas kepakaran beliau berkaitan bidang geologi dan glasiologi.

Dr. J. Siegert berkata, semua pihak termasuk individu, agensi dan organisasi perlu mengambil tanggungjawab dalam menangani isu pemanasan global.

“Apabila ais mula mencair, ia akan bergerak ke laut dan menyebabkan berlakunya peningkatan paras laut. Ini secara tidak langsung akan menyumbang kepada pemanasan global yang lebih teruk.

“Saintis menganggarkan terdapat peningkatan paras laut sekurang-kurangnya setengah meter pada abad ini.

“Jika kita tidak hentikan aktiviti yang menyumbang kepada pemanasan global sekarang, peningkatan paras air laut mungkin boleh menjangkau dua meter atau lebih pada masa akan datang

“Ia bukan sahaja memberi kesan kepada Malaysia, malah seluruh dunia,” jelasnya.

Sementara itu, pensyarah dan juga penyelidik di Institut Oseanografi dan sekitaran (INOS) UMT, Prof. Gs. Ts. Dr. Aidy @ Mohamed Shawal M. Muslim turut mendapat perhatian daripada pihak YPASM.

Beliau telah terpilih menerima anugerah berbentuk geran penyelidikan bernilai RM100,000.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI