fbpx

PRN: BN-PH pastikan anak rantau Kelantan dapat peluang kerja jika diberi mandat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid.

TANAH MERAH – Anak-anak rantau boleh pulang dan bekerja di negeri kelahiran mereka sekiranya gabungan Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH) diberi mandat untuk mentadbir Kelantan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan memastikan anak Kelantan yang bekerja di luar dapat pulang bekerja di negeri sendiri apabila gabungan BN-PH bakal menyediakan banyak peluang dan pembangunan.

Menurutnya, sehubungan itu, anak-anak rantau Kelantan perlu melakukan perubahan dengan memberi mandat kepada gabungan BN-PH pada PRN kali ini.

“Kalau kerajaan bertukar, akan lebih banyak lagi peruntukan akan disalurkan untuk Kelantan begitu juga dengan pelaburan asing.

“Kita mahu pelabur asing datang ke negeri ini, supaya anak-anak Kelantan yang berada di luar negeri dapat balik bekerja di sini,” katanya semasa berucap pada Ceramah Mega Jelajah Perpaduan Madani Kelantan di BN Command Centre, Batang Merbau di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid memberitahu, gabungan BN-PH akan dappat membentuk kerajaan baharu di Kelantan sekiranya memenangi 23 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

“Jika anak-anak rantau melakukan perubahan kali ini dengan memberi undi kepada calon-calon PH dan BN, kita dapat membentuk Kerajaan Madani di Kelantan.

“Kalau kita dapat 23 daripada 45 kerusi DUN, insya-Allah 13 Ogos ini kita akan dapat membentuk kerajaan di Kelantan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI