fbpx

Pura-pura beli durian sebelum samun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gerai durian di Simpang Kilang Pascorp Paper berhampiran susur keluar dari Bentong ke Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) di Bentong yang disamun semalam.

BENTONG – Gerai durian yang mula ‘tumbuh’ di daerah ini susulan musim baharu raja buah itu menjadi sasaran penjenayah yang berpura-pura mahu membeli sebelum bertindak menyamun peniaga.

Pemilik gerai durian, Ho Kam Seong, 31, berkata, gerainya yang terletak di Simpang Kilang Pascorp Paper berhampiran susur keluar Bentong didatangi seorang lelaki menaiki sebuah kereta kira-kira pukul 3 petang semalam.

Menurutnya, ketika itu tiada pelanggan lain dan dia juga mempunyai urusan diluar.

“Lelaki itu berpura-pura mahu membeli durian dan meminta pekerja membuka raja buah itu sebelum suspek datang dari arah belakang.

“Pekerja wanita saya terasa sesuatu di pinggangnya sebelum terkejut melihat pistol.

“Suspek kemudian meminta beg yang disandang pekerja sebelum beredar melarikan diri menghala ke Lebuh Raya Kuala Lumpur Karak. Saya kerugian RM800 hasil jualan durian,” katanya ketika ditemui semalam.

Kata Kam Seong, dia terkejut selepas menerima panggilan da­ripada pekerjanya dan itu merupakan kali pertama gerainya di­samun selepas lebih lima tahun berniaga di lokasi berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong Superintenden Zaiham Mohd. Kahar mengesahkan pihaknya menerima laporan dan pihak polis sedang giat menjejaki suspek.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Ke­seksaan iaitu merompak dengan menggunakan senjata yang boleh dikenakan penjara sehingga 14 tahun dan dikenakan denda serta sebatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI