fbpx

Cari pendekatan baharu tarik minat pelajar dalam Sains, Matematik – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (tiga kiri) bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang (tiga kanan) melakukan gimik perasmian Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia 2023 di Pusat Persidangan dan Acara Connexion.-Foto FARIZ RUSADIO / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) disarankan mencari pendekatan baharu bagi menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran Sains dan Matematik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya kaedah sama ditekankan dikhuatiri perkembangan bidang berkenaan akan ketinggalan zaman.

“Harus ada pendekatan baharu seperti mendapatkan pandangan ahli Sains dan badan-badan penyelidikan untuk turun ke sekolah, politeknik, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekolah vokasional untuk menambah minat anak-anak.

“Saya harap ini dapat dilaksanakan walaupun telah ada permulaan tetapi saya selalu menekankan kalau guna kaedah mesyuarat dan penyelarasan seperti biasa, kita akan ketinggalan zaman,” katanya ketika berucap semasa majlis perasmian Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia di sini hari ini.

Anwar berkata, kejayaan negara yang mencatat potensi pelaburan baharu yang besar perlu seiring dengan sinergi penyelidikan dan latihan.

Dalam pada itu, Anwar memaklumkan telah menemui badan induk selain Mesyuarat Majlis Sains Negara serta MIMOS Bhd bagi mencari kaedah untuk memanfaatkan sepenuhnya bidang berkaitan bagi memberi pendedahan dan latihan kepada pelajar.

“Dalam bidang TVET pula, kita telah memberikan penekanan. Belanjanya tinggi iaitu RM6.8 bilion setahun, kesannya ada yang positif kerana ada lebih 95 peratus anak-anak lulusan TVET mendapat pekerjaan.

“Tetapi, tidak memuaskan kerana rata-rata pendapatan mereka tidak melebihi RM2,000 sebulan.

“Jadi, kalau kita dapat tekankan latihan melalui sinergi dengan pihak syarikat swasta dan badan pendidikan yang lain membolehkan pendapatan lulusan TVET ditingkatkan sekurang-kurangnya pada kadar RM2,800 hingga RM3,000 sebulan barulah mereka boleh menjalani kehidupan selesa,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI