fbpx

Kutukan ‘membunuh’ Sumpahan Jerunei, penerbit terkilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Penerbit filem seram, Sumpahan Jerunei,?Datin Wendy Wong kesal dengan tindakan pensohor media sosial yang membuat pengakuan keluar pawagam lebih awal dan melemparkan kecaman berunsur hasutan meminta orang ramai tidak menonton filem berkenaan.

Wendy berkata, perbuatan sebegitu bukan sekadar ‘membunuh’ kemaraan filem tersebut, malah seakan-akan mempertikaikan kredibiliti panel juri dua buah festival filem iaitu Florence Film Awards, Itali dan Paris Film Awards yang memilih Sumpahan Jerunai sebagai penerima trofi, baru-baru ini.

Sumpahan Jerunei menjengah pawagam seluruh tanah air pada 27 Julai depan.

“Saya dimaklumkan pelakon, Uqasha Senrose dan beberapa pihak lain mengenai penyebaran video berkenaan kutukan individu yang tular dalam TikTok yang mendakwa Sumpahan Jerunei filem paling teruk dalam sejarah.

“Adakah tiada satu pun elemen dalam Sumpahan Jerunei yang bagus pada pandangan mereka sampai tergamak nasihatkan orang lain jangan tengok, sedangkan filem sama juga diangkat panel juri antarabangsa atau mungkin mereka ini lebih bagus menilai filem?

“Bukan kita tidak terbuka kepada kritikan kerana ada juga orang lain ulas kesan khas, tetapi segala diucapkan mereka ini lebih kepada mengecam, memburukkan dan menghasut.

“Pengkarya profesional yang telah menonton pun beri ulasan membina, selain meminta orang bagi sokongan, bukan ‘membunuh’ seolah-olah pensohor tersebut mempunyai agenda peribadi. Kita alu-alukan pendapat, namun kena adil terutamanya dengan mengikuti sesebuah naskhah sampai tamat,” katanya kepada Kosmo! Online.

Filem Sumpahan Jerunei berjaya merangkul enam trofi di Florence Film Awards, Itali dan Paris Film Awards, sekali gus mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Menurut Wendy lagi, respons daripada rakan penerbit dan pengarah produksi lain ketika majlis prebiu sekitar dua minggu lalu juga memberangsangkan.

Cuma katanya, semua pihak termasuk media, sedia maklum mengenai isu pengunduran pengarah kesan khas dari Amerika Syarikat pada saat akhir menyebabkan proses suntingan naskhah berbajet RM5 juta tersebut berdepan masalah.

“Dia meminta saya menggugurkan nama Jason Chong selalu pengarah jika ingin dia hasilkan kesan khas terbaik untuk memenangi festival filem global.

“Selepas permintaan ditolak, dia terus tinggalkan Malaysia begitu saja buatkan kami terpaksa ambil masa melengkapkan CGI dan VFX yang ditambah baik lebih enam kali dengan kos hampir mencecah RM500,000 termasuk bayaran individu tersebut,” katanya yang bergandingan dengan Datuk Nancie Foo sebagai penerbit bersama.

Pada masa sama, Wendy turut meminta maaf andai kutukan pemilik akaun TikTok terbabit berpunca daripada rasa kurang puas hati tidak dapat menyertai majlis pratonton filem berkenaan sebelum ini.

“Saya minta maaf kerana pada hari prebiu kita hanya dapat sediakan tempat duduk kepada 130 wakil media saja, tetapi kemudian kita buka lagi peluang menonton pada yang lewat mendaftar untuk hadir pada 27 Julai pula,” ulasnya.

Terdahulu, dalam video yang tular, antara perkara disebut pempengaruh itu termasuklah menyarankan khalayak agar tidak menonton karya berkenaan.

“Jangan tengok, tak berbaloi, filem paling teruk yang pernah saya tengok, paling teruk dalam sejarah,” katanya sambil disokong seorang lagi teman.

Karya yang mengambil latar Sarawak itu sebelum ini dijemput menyertai Festival Filem Busan di Korea untuk pemilihan dan kemudian ditayangkan di Festival Filem dan Anugerah Antarabangsa Asean (AIFFA) 2023 di Kuching, Sarawak, baru-baru ini.

Mengangkat sejarah silam kaum Melanau membabitkan adat pengebumian golongan bangsawan, antara pelakonnya adalah Bront Palarea, Syafie Naswip, Uqasha, Amerul Affendi, Tony Eusoff dan Daiyan Trisha.

Menemui penonton di pawagan bermula 27 Julai lalu, filem berkenaan turut mendapat undangan khas penganjur untuk tayangan rasmi bersempena Julien Dubuque International Film Festival di Amerika Syarikat sekitar Mei lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI