fbpx

SPRM guna kamera badan elak tohmahan ketika bertugas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azam (tengah) ketika melancarkan Majlis Pelancaran BWC dan Vest SPRM di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil inisiatif menggunakan sebanyak 142 unit kamera badan (BWC) kepada pegawai yang menjalankan operasi siasatan bagi membanteras tohmahan dibuat segelintir individu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, penggunaan BWC diharap dapat memanfaatkan agensi itu dalam menjalankan tugasan operasi dengan mempamerkan gambaran telus ketika bertugas.

“Setakat ini, kita membeli sebanyak 142 unit dengan bajet yang terhad dan akan membekalkannya kepada pegawai terlibat operasi penting di Ibu Pejabat SPRM dan di negeri-negeri.

“Jadi, dengan penambahan bajet yang diterima SPRM daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kita akan tambah lagi penggunaan BWC berikutan risiko rosak akibat kekerapaan penggunaan juga tinggi,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan pemakaian BWC di sini tadi.

Pemakaian BWC bertujuan untuk merekod secara audio dan visual setiap tugasan serta peristiwa berlaku semasa proses siasatan dijalankan oleh SPRM.

Ia termasuklah bagaimana suspek atau saksi dikendalikan oleh pegawai SPRM sepanjang tempoh siasatan sekali gus memastikan setiap pegawai termasuklah mereka yang membantu siasatan atau suspek sentiasa dilindungi di bawah penguatkuasaan undang-undang.

Mengulas lanjut, Azam berkata, pembelian BWC juga tidak menelan belanja tinggi berikutan peranti itu dibeli terus daripada pembekal dengan mengikut harga ditetapkan dalam pasaran.

“Jika kita beli sistem, maknanya ia akan disimpan dalam bentuk data, jadi kerana mahu jimatkan masa dan lebih praktikal, kita guna kamera ini secara sendirian di mana kad SD akan disimpan untuk rujukan jika ada keperluan untuk ke mahkamah atau isu-isu lain,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI