fbpx

CIMB lancar pembiayaan lestari RM3 bilion untuk PKS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NIK NAZMI (tiga dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, CIMB Group, Datuk Abdul Rahman Ahmad (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran Program Pembiayaan Lestari untuk PKS di Kuala Lumpur, hari ini.

PETALING JAYA – CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB) mempertingkatkan cadangan GreenBizReady mereka menerusi pelancaran Pembiayaan Berkaitan Kelestarian (SLF) untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Dengan peruntukan RM3 bilion sehingga tahun 2030 untuk program tersebut, CIMB merupakan bank pertama di pasaran yang menawarkan cadangan nilai lengkap kepada PKS untuk memanfaatkan peluang pembiayaan berkaitan kemampanan, termasuk alatan mudah bagi tujuan pengukuran dan pengesahan.

SLF bertujuan memberi insentif kepada PKS yang mencapai sasaran pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG) melalui rebat pembiayaan menarik sehingga 0.5 peratus setahun, sambil beroleh pembiayaan untuk memenuhi keperluan modal atau pengembangan mereka.

Setelah sasaran prestasi kemampanan dipersetujui dengan CIMB, PKS hanya perlu memasukkan data seperti penggunaan tenaga dan bahan api ke dalam platform Sistem Pengoperasian Karbon Rendah (LCOS) Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) yang berasaskan web dan mesra pengguna.

Selain itu, dengan menggabungkan SLF dengan Kemudahan Peralihan Karbon Rendah (LCTF) Bank Negara Malaysia (BNM), PKS juga boleh mendapat manfaat daripada kadar pembiayaan yang lebih baik.

Sebagai sebahagian daripada pelancaran SLF, CIMB menandatangani Memorandum Kerjasama dengan MGTC di Kuala Lumpur hari ini, yang disaksikan oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menerusi perjanjian berkenaan, kedua-dua pihak komited untuk meneroka peluang selanjutnya untuk memacu kemampanan dalam kalangan PKS.

Nik Nazmi berkata, pertumbuhan ekonomi yang mampan adalah bergantung kepada keupayaan untuk memastikan perniagaan, sama ada besar atau kecil mampu menyesuaikan diri sewaktu negara beralih kepada ekonomi rendah karbon yang berdaya tahan dalam memerangi kesan perubahan iklim.

“Dengan memanfaatkan perkongsian awam-swasta (PPP) dan perkongsian dermawan awam-swasta (PPPP) sebagai sebahagian daripada pendekatan keseluruhan masyarakat, kita boleh memastikan perniagaan Malaysia berada pada kedudukan baik untuk berkembang maju dalam ekonomi masa depan.

“Ini penting untuk mewujudkan Malaysia yang lebih inklusif dan saksama,” katanya dalam satu kenyataan.

SLF untuk PKS merupakan sebahagian daripada cita-cita CIMB untuk menggerakkan RM60 bilion dalam pembiayaan mampan menjelang 2024, setelah mencapai sasaran asalnya sebanyak RM30 bilion dua tahun lebih awal daripada jadual.

Pada hujung 2022, CIMB telah menggerakkan RM54.3 bilion dalam pembiayaan mampan di bawah rangkan kerja Perkhidmatan dan Produk Hijau, Sosial, Mampan dan Berimpaknya (GSSIPS), meletakkan CIMB pada landasan kukuh untuk menjadi peneraju kemampanan ASEAN menjelang 2024. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI