fbpx

Pelaburan hijau swasta di negara ini naik sebanyak 326 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sektor tenaga boleh baharu di Malaysia merekodkan pertumbuhan yang menggalakkan. – Gambar hiasan

PETALING JAYA – Pelaburan hijau swasta di negara ini menyaksikan lonjakan sebanyak 326 pe­ratus tahun lalu kepada AS$1.03 bilion (RM4.92 bilion), mewakili kira-kira 16 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan hijau di rantau Asia Tenggara.

Laporan Ekonomi Hijau Asia Tenggara 2024 oleh Bain & Company, GenZero, Standard Chartered and Temasek memaklumkan bahawa Malaysia dan Laos telah menyaksikan pertumbuhan sebanyak 126 peratus dalam pembiayaan hijau.

Ini adalah dua negara yang mencatat lonjakan terbesar tahun lalu dalam industri ber­kenaan.
Jelas laporan tersebut, sekitar 50 peratus daripada pelaburan di Malaysia dibuat pada sektor pembinaan, manakala pelaburan kukuh turut dilihat dalam sektor solar.

“Dana pemangkin berjumlah AS$430 juta (RM2 bilion) telah diperuntukkan kerajaan untuk gabungan pembiayaan dan pembangunan dalam kelompok industri, seperti yang dilihat di Sarawak dan Johor.

“Bagi mempercepatkan pembangunan ekonomi hijau, laporan ini mengesyorkan supaya Malaysia memacu penggunaan gabungan pembiayaan, terus membangunkan peraturan dalam sektor boleh diperbaharui serta meneruskan momentum dalam taman perindustrian,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu, Ketua Pelaburan di GenZero, Kimberly Tan berkata, sebagai salah satu kawasan yang paling terdedah kepada perubahan iklim, Asia Tenggara mengalami peningkatan ketara dalam pelepasan gas rumah hijau, dipacu oleh Pembangunan ekonomi.

“Walaupun pelaburan iklim meningkat 20 peratus kepada AS$6.3 bilion (RM30 bilion) pada 2023, pecutan ketara diperlukan untuk mencapai AS$1.5 trilion (RM7.1 trilion) yang dapat menyokong bagi mencapai sasaran pelepasan 2030.

“Di tengah-tengah persaingan global untuk pelaburan iklim, negara peneraju telah merangka pelan hala tuju penyahkarbonan melalui rangka kerja dasar yang jelas, peraturan yang menyokong dan pelan pembiayaan kon­krit yang akan berada pada kedudukan lebih baik untuk menarik pelaburan swasta dan mempercepatkan peralihan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI