fbpx

Pengorbanan berbaloi juara dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FARAH AIN (tengah) muncul juara dunia pada Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia awal pagi semalam. - FB WORLD BOWLS

PELBAGAI cabaran yang dihadapi skuad boling padang kebangsaan ketika beraksi pada Kejohanan Dunia Dalam Dewan di Guernsey nyata berbaloi apabila Malaysia berjaya muncul sebagai juara keseluruhan.

Satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa yang dituai menjadikan ia sebagai pencapaian terbaik pernah dicatatkan Malaysia sepanjang menyertai kejohanan tersebut.

Presiden Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz menyuarakan rasa bangga atas pencapaian luar biasa yang dilakar barisan atlet negara biarpun berdepan banyak cabaran dan dugaan.

“Syukur Alhamdulillah kerana pencapaian begitu cemerlang dalam sejarah kita di peringkat dunia. Sebelum ini tidak pernah berlaku di mana kita muncul sebagai juara keseluruhan pada kejohanan dunia.

“Pencapaian ini adalah hasil daripada kerja keras jurulatih dan atlet kerana mereka berdepan banyak cabaran. Hari raya kedua mereka sudah mula berlatih selain tersangkut di Dubai semasa berangkat ke Guernsey,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pada kejohanan itu, Malaysia melakar sejarah tersendiri apabila Nor Farah Ain Abdullah merangkul pingat emas dalam acara individu wanita selepas mengenepikan cabaran atlet Malta, Connie Nixon menerusi aksi straight-set 6-2, 6-3.

Atlet berusia 23 tahun itu juga menyumbang pingat gangsa dalam acara berpasangan campuran bersama Izzat Shameer Dzulkeple selepas tewas 2-9, 3-11 kepada Ray Pearse dan Samantha Atkinson dari Australia di separuh akhir.

Sementara itu, Izzat Shameer juga tampil cemerlang apabila merangkul pingat perak menerusi acara individu lelaki apabila tewas 5-6, 3-9 kepada wakil tuan rumah, Jason Greenslade di pental final.

Awalan turut menjelaskan, pihak persatuan sedia untuk memberikan insentif kepada dua atlet tersebut sebaik pulang ke tanah air atas kejayaan mereka mengharumkan nama negara di persada dunia.

“Insya-Allah selalunya memang kita akan berikan insentif walaupun tidak banyak kerana PLBM bukanlah persatuan yang besar. Apabila mereka pulang, kita akan jumpa dan berikan (insentif) kepada mereka,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI