fbpx

Penganjur Good Vibes 2023 dipanggil berniaga di Kembara RIUH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar yang dimuat naik Fahmi di akaun Twitternya ketika bersama penganjur GVF 2023 di Kembara RIUH, semalam.

PETALING JAYA – Penganjur Festival Good Vibes 2023 (GVF 2023) dipanggil untuk membuka gerai secara percuma di Kembara RIUH 2023 yang berlangsung di Fraser Valley, Kuala Kubu Bharu, Selangor, sejak kelmarin.

Menerusi salah satu gambar yang dimuat naik oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil di akaun Twitternya, kelihatan beliau bergambar dengan penganjur festival berkenaan iaitu Future Sound Asia.

Sehubungan itu, ramai meminta pengesahan adakah individu tersebut sememangnya penganjur GVF yang sebelum ini terpaksa membatalkan konsert berbaki sehari lagi di Litar Antarabangsa, Sepang pada 23 Julai lalu.

“Ya, betul. Saya minta panggil vendor GVF untuk buka gerai di Kembara Riuh secara percuma.

“Ada sebahagian buka di Kuala Kubu Bharu. Ada sebahagian lain akan buka di RIUH Pulau Pinang hujung minggu depan.

“Program ini dianjurkan oleh salah sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), MyCreative Ventures bertujuan untuk merancakkan lagi industri kreatif, seni, dan budaya di Malaysia terutamanya pasca pandemik Covid-19,” ciapnya.

Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang memuji tindakan Fahmi atas usaha untuk membantu penganjur GVF yang mengalami kerugian gara-gara festival itu dibatalkan.

“Tindakan yang bagus YB sebab tolong bantu dan kurangkan kerugian mereka. Walaupun bukan tanggungjawab kerajaan,” ciap seorang pengguna.

“Pemikiran yang bagus dan tindakan yang pantas. Walaupun tak dapat nak tanggung kerugian semua, tetapi boleh bantu mereka untuk kurangkan kerugian,” komen pengguna yang lain pula.

Terdahulu, Fahmi membatalkan serta-merta GVF 2023 rentetan insiden dan kenyataan sangat biadab oleh artis dari United Kingdom (UK), Matty Healy, daripada kumpulan “The 1975” semasa persembahan di Sepang 22 Julai lalu.

Selain itu, satu pertemuan antara Fahmi dan penganjur festival berkenaan turut diadakan bagi memohon penjelasan berhubung insiden kontroversi tersebut.

Susulan itu, penganjur festival berkenaan berkata, pihaknya akan mengumumkan mekanisme ganti rugi kepada pembeli tiket secepat yang mungkin.

Di dalam konsert tersebut, The 1975 melakukan aksi tidak senonoh dengan mencium rakan sejantinan lelaki iaitu gitaris kumpulannya, Ross Macdonald di atas pentas.

Bukan itu sahaja, vokalisnya turut memegang botol arak ketika berada di atas pentas selain membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT). – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI