fbpx

Agong dukacita terhadap kepupusan Harimau Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Al-Sultan Abdullah diiringi Tengku Hassanal pada majlis pemasyuran Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah dan Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal di Pusat Biodiversiti Lanchang, Temerloh.

TEMERLOH – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’Ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melahirkan rasa dukacita terhadap populasi harimau Malaya yang semakin pupus dengan cepat disebabkan oleh aktiviti pemerdagangan dan pemburuan haram tanpa belas kasihan.

Baginda bertitah berdasarkan kajian habitat harimau sekitar 2016 hingga 2018 menunjukkan populasi haiwan yang menjadi ikon negara itu hanya tinggal kurang daripada 200 ekor sahaja.

Justeru titah baginda pemeliharaan hidupan liar dan ekosistem serta hutan negara yang menjadi habitat kepada harimau Malaya dan spesies hidupan liar lain perlu terus diperkasakan.

“Harimau Malaya bukan sahaja menjadi ikon negara malah ianya adalah penunjuk kesihatan ekosistem dan kekayaan hutan negara namun makhluk hebat ini dan spesies hidupan liar lain berhadapan dengan pelbagai ancaman.

“Usaha bersepadu daripada semua pihak termasuk daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan perlu diwujudkan segera bagi memelihara ikon negara ini dan juga semua hidupan liar yang lain agar tidak terus pupus daripada negara ini.

“Usaha murni ini turut memerlukan pembiayaan, latihan, teknologi dan juga kerjasama di peringkat antarabangsa,”titah baginda pada Majlis Pemasyuran Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah dan Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal yang turut dihadiri Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di Pusat Biodiversiti Lanchang di sini hari ini.

Tambah baginda masyarakat Orang Asli turut boleh memainkan peranan dalam usaha pemeliharaan dan perlindungan warisan semulajadi kita selain pendidikan dan kesedaran daripada bangku sekolah lagi turut menyumbang kepada usaha murni ini.

Jelas baginda dengan menanam rasa cinta anak-anak kepada alam sekitar dan hidupan liar berupaya memupuk sifat empati terhadap hidupan liar dan alam sekitar seterusnya berupaya membentuk generasi akan datang yang menghargai kepada nilai-nilai murni penjagaan alam semulajadi dan ekosistem negara.

Sementara itu baginda bertitah pemasyuran Rizab Harimau Diraja Al Sultan Abdullah dan Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal adalah simbol kepada komitmen, dedikasi dan keazaman negara untuk memelihara alam semulajadi dan hidupan liar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI