fbpx

Ibu bapa desak guru besar, penolong kanan dipindahkan segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sepanduk yang digantung ibu bapa berdekatan sekolah berkenaan semalam.

PETALING JAYA – Sekumpulan ibu bapa nekad memasang sepanduk di sebuah sekolah di Damansara  gara-gara tidak berpuas hati dengan pentadbiran sekolah berkenaan.

Menerusi sepanduk yang tertera, mereka menggesa guru besar dan penolong kanan pentadbiran itu dipindahkan daripada sekolah berkenaan dengan segera.

Menurut seorang ibu bapa yang mahu dikenali Syam, 45, berkata, punca mereka menaikkan sepanduk itu adalah kerana tidak berpuas hati dengan kedua-dua pentadbir tersebut.

“Banyak program melibatkan ibu bapa, PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) dihalang oleh pentadbir sekolah, malah kami ibu bapa juga dihalang untuk menyertai sebarang aktiviti melibatkan pelajar dan ibu bapa.

“Selain itu, banyak program-program yang dirancang ibu bapa bersama PIBG turut disekat pentadbir sekolah ini. Kami sudah beberapa kali berbincang mengenai perkara ini, namun tiada jalan penyelesaian.

“Justeru, kami mahu kedua-dua individu ini dipindahkan segera bagi mengelakkan lebih banyak lagi kesulitan dialami oleh ibu bapa dan pelajar pada masa akan datang,” luahnya kepada Kosmo!

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan ketika dihubungi berkata, pihak Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah telah turun dan meninjau masalah sekolah itu semalam.

Bagaimanapun katanya, setakat ini pihak PIBG dan ibu bapa masih belum dipanggil untuk memberi keterangan.

“Saya sebagai YDP PIBG tidak dapat memberi sebarang komen buat masa ni. Kami PIBG sebagai orang tengah cuba menjadi pendamai antara pihak pentadbir dan ibu bapa,” katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 43 saat memaparkan ibu bapa sedang menggantung sepanduk mendesak pentadbir sekolah itu dipindahkan segera.

Berdasarkan tulisan yang tertera di sepanduk itu, mereka mengakui masalah yang terjadi di antara pihak pentadbir dan  ibu bapa sudah berlarutan sejak tahun 2019.

Bagaimanapun, tiada sebarang penyelesaian dibuat oleh pihak berwajib walaupun sudah melalui saluran-saluran aduan rasmi KPM. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI