fbpx

K2

Hukum berkenaan perkahwinan pesakit HIV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penghidap HIV positif tidak digalakkan berkahwin kerana boleh mengundang kemudaratan kepada pasangan. – Gambar hiasan

Apakah hukum perkahwinan di antara pasangan HIV positif dengan pasangan yang HIV negatif?

JAWAPAN:  Perkahwinan adalah suatu yang disyariatkan untuk merealisasikan kasih-sayang di antara lelaki dan perempuan. Ia bukan untuk kebahagiaan satu pihak sahaja, namun pensyariatan ini menjaga kesaksamaan kedua-dua belah pihak untuk menikmati kebahagiaan dalam perkahwinan di samping memenuhi keperluan fitrah manusiawi. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam al-Quran:

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”(Surah al-Rum: 21)

Maka, jelaslah bahawa tujuan perkahwinan itu adalah untuk memberi kebahagiaan dan ketenangan kepada kedua-dua belah pihak dalam mengharungi fitrah kejadian yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada setiap insan. Jika diperhatikan dari sudut hukum, kita akan dapati hukum asal bagi pernikahan itu terbahagi kepada beberapa kategori, seperti;

a) Hukum Pernikahan Menjadi Wajib

Ia menjadi wajib ke atas seorang mukmin yang memiliki kemampuan dalam memberi nafkah zahir dan batin serta bimbang dirinya akan terjerumus ke dalam perbuatan zina yang sangat dilarang oleh Allah SWT. Namun begitu, umum para fuqaha’ menetapkan hukum pernikahan itu menjadi wajib ke atas seseorang lelaki yang yakin akan berlaku zina andai tidak berkahwin selain yakin yang dia mampu memberikan nafkah perkahwinan yang terdiri daripada mahar, nafkah isteri dan dapat memenuhi hak-hak dan tanggungjawab dalam perkahwinan. Bahkan dia tidak mampu untuk mengelak daripada perbuatan keji tersebut dengan hanya berpuasa.

b) Hukum Pernikahan Menjadi Sunat

Menjadi sunat apabila seseorang itu telah cukup umur dan baligh, serta mampu mengawal nafsu. Walaupun seseorang itu mampu mengawal nafsu namun tidaklah elok jika dia berkeinginan untuk tidak berkahwin buat selamanya, kerana Islam menggalakkan perkahwinan dan nabi Muhammad SAW suka melihat umatnya yang ramai.

c) Hukum Pernikahan Menjadi Harus

Pernikahan menjadi harus apabila seseorang itu tidak mempunyai sebarang halangan syarak dan sempurna dari segi syarat dan keperluan.

d) Hukum Pernikahan Menjadi Makruh

Pernikahan itu menjadi makruh apabila seseorang itu merasa takut berlakunya perkara-perkara yang dikira zalim, jahat yang boleh memudaratkan bakal isterinya atau pasangannya, tetapi tidaklah pula dalam perasaan yakin atau pasti berlaku. Walaupun mereka itu terdiri daripada orang yang kurang berkemampuan dari sudut nafkah. Hukum makruh juga berlaku apabila seseorang itu menghidap penyakit yang berpanjangan, atau penyakit yang boleh membawa kepada mafsadah iaitu keburukan kepada pasangannya ataupun usia yang terlalu tua sehingga tidak mampu memberi nafkah kepada isteri di samping hilangnya keinginan kelamin (Lihat kitab al-Mu’tamad, Jld.4, Hlm.18).

e) Hukum Pernikahan Menjadi Haram

Pernikahan akan menjadi haram apabila seseorang itu tidak berkemampuan untuk memberi nafkah zahir dan batin dan tidak mempunyai keinginan untuk berkahwin malah berkemungkinan akan menganiayai isteri mereka sendiri jika pernikahan itu berlaku. Selain itu diharamkan juga oleh syarak’ perkahwinan ke atas seseorang yang yakin akan berlaku zalim ataupun yang boleh mendatangkan kemudaratan ke atas pasangannya setelah berkahwin.

Berdasarkan kepada matlamat perkahwinan dan ketetapan hukum demi maṣlaḥah kedua-dua belah pihak sebagaimana yang dihuraikan, adalah tidak digalakkan kepada penghidap HIV +ve untuk berkahwin kerana ia boleh memberi kemudaratan kepada pasangannya, isteri atau suami walaupun masing-masing telah menjadi penghidap HIV +ve. Bahkan dia tidak boleh berkahwin, kecuali setelah dia menjelaskan tentang penyakitnya itu kepada calon pasangannya. Jika calon pasangannya itu bersedia dan sanggup menanggung risiko atas penyakit yang dialami oleh bakal pasangannya, maka bolehlah mereka teruskan. Sebaliknya jika calon tersebut tidak setuju maka tidak boleh. Dia juga hendaklah mendapatkan nasihat daripada doktor pakar bagi mencegah kuman penyakit merebak (tidak memudaratkan) kepada isteri/suaminya.

Sekiranya penghidap HIV itu merahsiakan keadaannya kepada calon pasangannya, maka dia dianggap sebagai penipu yang memperdayakan mereka, disebabkan kemudaratan yang berkemungkinan berlaku kepada pasangannya itu nanti melalui jangkitan apabila mereka bersama. Keadaan ini menyebabkan perkahwinan tersebut menjadi haram dan berdosa.

Akan tetapi jika pihak calon pasangannya merelakan keadaan itu, bersedia menerima dan reda menghadapi segala takdir Allah dan akibatnya, maka itu tidak masalah dan hukumnya adalah harus.

Kesimpulannya, Islam amat menitik beratkan kemaslahatan kepada setiap individu dan melarang umatnya melakukan kezaliman kepada orang lain serta mencerobohi hak-hak yang sepatutnya diperolehi daripada setiap perkara yang diharuskan. Oleh itu mencegah adalah baik daripada mengubati demi kelangsungan hidup yang lebih bermakna untuk generasi akan datang. Setiap tindakan kita hari ini akan memberi kesan kepada akibat yang akan datang. Moga penjelasan ini dapat memberi gambaran yang jelas tentang tujuan dan ketetapan hukum yang menjadi asas kepada kerahmatan dalam hidup beragama dan ketaatan kepada perintah yang Maha Esa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI