fbpx

Lima lelaki dicekup, tak sempat edar 32,140 biji pil kuda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhamad Zaki (tengah) menunjukkan sebahagian pil kuda yang dirampas pada sidang akhbar di IPK Kelantan, Kota Bharu hari ini.- Foto ROSMIZAN RESDI

KOTA BHARU – Lima lelaki dicekup selepas disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran 32,140 biji pil kuda bernilai RM353,540 dalam empat serbuan berasingan di sini, Tumpat dan Gua Musang bermula kelmarin.

Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 24 sehingga 37 tahun itu ditahan menerusi Op Tapis khas yang dijalankan pihak polis bermula 20 Julai sehingga semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki berusia 24 tahun di kawasan parkir kereta di depan Masjid Al-Ismaili, Bandar Baru Pasir Pekan, Wakaf Bharu dekat Tumpat pada pukul 11 pagi, kelmarin.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap suspek kemudiannya menemui sebanyak 1,000 biji pil kuda yang bernilai RM11,000 di dalam sebuah beg silangnya.

“Siasatan lanjut mendapati, suspek merupakan seorang penganggur dan mempunyai lapan rekod jenayah lampau berkait kes dadah.

“Susulan daripada penahanan lelaki itu, polis menahan suspek kedua dan ketiga dengan salah seorang daripadanya warga Thailand di tepi jalan Kota Bharu-Ketereh di sini pada pukul 12.30 tengah hari semalam,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Polis Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki memberitahu, kedua-dua lelaki berusia 34 dan 32 tahun itu menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish memecut laju kenderaan mereka ketika dihampiri anggota polis.

Menurutnya, MPV tersebut berhenti sebelum salah seorang suspek mencampakkan sebuah beg berisi 2,200 biji pil kuda bernilai RM24,200 melalui tingkap.

“Pemeriksaan terhadap suspek kemudiannya membawa kepada penemuan segugus kunci di sebuah rumah di Kampung Bemban, Peringat di sini. Pemeriksaan di dalam rumah berkenaan telah menjumpai sebanyak 7,200 biji pil kuda bernilai RM79,200.

“Selepas itu, polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun di atas sebuah motosikal yang membawa sebanyak 2,000 biji pil kuda yang bernilai RM22,000 di tepi jalan di Tapang di sini pada pukul 3 petang semalam,” katanya.

Muhamad Zaki berkata, hasil soal siasat ke atas suspek telah membawa pihak polis kepada serbuan di sebuah rumah di Kampung Chempaka, Jalan Panji di sini sebelum menemui sebanyak 18,000 biji pil kuda yang bernilai RM198,000 di dalam sebuah bilik.

Menurutnya, dalam serbuan keempat pula, seorang lelaki berusia 37 tahun bersama 740 biji pil kuda ditahan semasa berada di sebuah pondok kayu di ladang kelapa sawit di Jeram Tekoh, Gua Musang pada pukul 2.30 petang semalam.

Tambahnya, keempat-empat kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI