fbpx

35 pegawai polis IPK Perlis terima Ijazah Sarjana UUM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Sarafudin bergambar bersama sebahagian daripada 35 pegawai polis dari IPK Perlis yang menerima ijazah sarjana pada Majlis Konvokesyen ke-35 UUM, Sintok semalam. - SHAHIR NOORDIN

SINTOK – Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) ke-35 mencipta sejarah tersendiri apabila 35 pegawai polis pelbagai pangkat dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis menerima ijazah sarjana masing-masing semalam.

Kesemua pegawai polis itu menerima Ijazah Sarjana Sains (Pengajian Strategik) melalui program yang dirancang dan dilancarkan hasil kerjasama strategik antara Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS) UUM dan IPK Perlis sejak tahun 2020.

Menurut seorang graduan, Asisten Superintendan Mohd. Firdaus Ishak, 38, dari Kulim dekat sini, ijazah itu menjadi lonjakan akademik untuk membantu kerjaya yang diceburi sejak 2011.

“Dalam pasukan polis ini memerlukan lonjakan akademik kerana kenaikan pangkat akan mengambil masa, hanya terpilih boleh naik pangkat, jadi sambung belajar ini salah satu cara untuk naik pangkat. Apabila sambung belajar dapat pencapaian baharu.

“Lagipun Polis Diraja Malaysia (PDRM) memang galakkan anggota atau pegawai sambung belajar,” katanya ketika ditemui selepas sesi kedua Majlis Konvokesyen UUM ke-35 di Dewan Mu’adzam Shah, UUM, di sini semalam.

Ijazah berkenaan disampaikan oleh Pro Canselor UUM iaitu Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin kepada 460 graduan lain.

Mohd. Firdaus memberitahu, cabaran utama bergelar penuntut universiti dan pegawai polis adalah membahagikan masa dengan baik tanpa memperjudikan tugasan sebagai barisan hadapan.

“Kami belajar dalam tempoh yang agak kritikal kerana pandemik Covid-19. Kami hanya sempat menghadiri kuliah fizikal dua semester kerana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan selebihnya secara dalam talian.

“Malah, ada waktunya saya terpaksa masuk kelas di pondok SJR (sekatan jalan raya) ketika bertugas sebagai ketua di situ.

“Saya perlu buat dengan teliti agar tidak mengganggu tugas hakiki ketika itu,” kata Pegawai Turus Gerakan daripada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam IPK Perlis ini.

Mohd. Firdaus (kanan) dan Surirani masing-masing menerima Ijazah Sarjana Sains (Pengajian Strategik).

Sementara itu, menurut rakan setugasnya, Deputi Superinten­dan, Surirani Ali, 46, peluang menyertai program tersebut diibaratkan sebagai bulan jatuh ke riba yang harus direbut tanpa bertangguh.

“Kalau nak belajar sendiri, peluangnya rendah. Dengan kerjasama seperti ini dan kepimpinan IPK juga memberi sokongan, takkan nak tunggu lagi.

“Cabaran ketara ialah apabila berkhidmat dalam sektor keselamatan yang mana isu tak boleh dipandang remeh, kalau ada tugasan kami boleh berbincang dengan pensyarah,” kata ibu kepada tiga anak ini.

Menurut Surirani yang menyer­tai PDRM pada 1998, sepanjang pengajian bagi kursus tersebut, mereka juga mengha­diri kuliah khas di IPK pada setiap Rabu dan Khamis selama dua jam selepas pukul 6 petang.

“Saya berharap lebih banyak anggota dan pegawai polis me­rebut peluang ini sebagai usaha meningkatkan akademik masing-masing,” kata Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Siasatan Perundangan JSJ IPK Perlis itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI