fbpx
Contoh salah sebuah rumah yang dipasang panel solar PV bertujuan untuk menjana tenaga boleh baharu dan seterusnya dapat menjimatkan penggunaan bil elektrik bulanan pemilik kediaman berkenaan.

Gading Kencana perkenal Solar Rakyat bantu jimatkan bil elektrik pengguna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Pengasas syarikat Gading Kencana Sdn. Bhd. (Gading Kencana), Datuk Ir. Guntor Tobeng telah mengoperasikan empayar perniagaan dalam bidang tenaga boleh baharu hampir 30 tahun dan kini ia sudah cukup matang berdepan dengan pelbagai cabaran, kekangan serta isu dalam industri tersebut.

Syarikat yang memiliki ladang solar di Bidor, Perak dan Melaka itu semakin optimis dengan usahanya selama ini seiring dengan inisiatif banyak industri dan pemain dalam pelbagai bidang sedang membuat persiapan rapi ke arah kelestarian dan juga dorongan menggunakan tenaga boleh baharu pada masa depan.

Syarikat juga prihatin beban kos sara hidup rakyat yang terus meningkat sekali gus mendorong syarikat melancarkan program Solar Rakyat bagi membantu mengurangkan bil elektrik bulanan.

Penjimatan berganda dalam bil elektrik melalui pemasangan panel solar di bumbung kediaman yang bernilai kira-kira RM12,000 itu telah menjadi pilihan pelanggan yang memiliki bil elektrik bulanan melambung sehingga RM600 ke atas.

“Tenaga boleh baharu boleh menjimatkan bil elektrik malah ia dapat mengurangkan pelepasan karbon ke udara bersamaan dengan bilangan pokok.

“Sejumlah 1,320 batang pokok berjaya diselamatkan dengan penggunaan tenaga solar berjumlah empat kilowatt (kwt) dan sejumlah empat kwt itu juga menghasilkan tenaga boleh baharu sebanyak 12kwt sejam dengan kemampuan menjana tenaga untuk tiga penghawa dingin dan juga dua buah kipas dalam sebuah rumah,” katanya dalam satu pertemuan bersama media di Subang Jaya baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh jelaskan le­bih lanjut tentang Solar Rakyat?
GuntOr: Gading Kencana menawarkan pemasangan solar photovoltaic (PV) di bawah program Net E­nergy Metering 3.0 (NEM 3.0) yang mana ia adalah program untuk mengga­lakkan rakyat ke arah penggunaan tenaga solar khususnya dalam kala­ngan pemilik rumah bertanah.

Dalam masa sama ia juga dapat menjimatkan bil elektrik dan menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu.

Sebenarnya banyak inovasi telah kita bangunkan dan apa yang kita lakukan adalah untuk membantu pengguna berdepan kos sara hidup yang semakin tinggi.

Contohnya apabila kita memasang panel solar (di bumbung rumah) bil elektrik yang sebelum ini adalah kira-kira RM1,700 jadi jumlahnya akan berkurangan kepada RM1,300 dengan manfaat penjimatan kira-kira RM400.

Berapakah kos minimum yang dikenakan untuk pemasangan panel solar kediaman?
Kos termurah adalah kira-kira RM12,000. Untuk pelaburan tersebut, ia melibatkan pemasangan panel yang boleh menjana tenaga boleh baharu sebanyak dua kilowatt (kwt). Satu panel solar berkeupayaan menjana tenaga 500 watt.

Apakah pakej popular syarikat?
Ramai pelanggan kami mengambil pakej pemasangan panel solar yang menjana tenaga boleh baharu sebanyak empat kwt dan juga enam kwt yang mana kumpulan pelanggan ini terdiri daripada mereka yang membayar bil lebih daripada RM600 sebulan.

Kira-kira 70 pe­ratus daripada pelanggan kami mengambil pakej pemasangan panel yang menghasilkan enam kwt dan kebanyakan mereka tinggal di Lembah Klang.

Sehingga sekarang berapa banyak panel solar telah dipasang di kediaman pelanggan?
Jumlah terkumpul adalah sebanyak 1,500 pelanggan dan untuk tahun ini kami menyasarkan sebanyak 500 pemasangan dibuat.

Adakah syarikat bekerjasama dengan mana-mana agensi atau syarikat untuk perkhidmatan panel solar?
Kami telah bekerjsama de­ngan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam program solarprenuer yang mana syarikat akan melantik mana-mana usahawan Mara di seluruh negara untuk buat pemasangan panel solar di rumah pelanggan.

Melalui pelantikan ini, kami tiada masalah untuk membuat pemasangan, walaupun pelanggan tinggal di luar daerah. Berbanding sebelum ini, kakitangan kami sendiri yang membuat pemasangan dan sekiranya pelanggan berada di luar daerah, ia akan mengambil masa dan juga kos.

Apa masa depan usahawan yang terlibat?
Ia satu bisnes yang baik dan berpotensi. Jika sebelum ini mereka terlibat dalam bidang subkontrak seperti pendawaian, elektrik dan elektrikal yang mana mereka bergantung kepada kontrak. Ada kontrak maka adalah pendapatan.

Tetapi sekiranya mereka dilantik untuk membuat pemasangan panel solar, mereka akan memperoleh pendapatan yang baik setiap bulan kerana permintaan daripada pelanggan kini semakin bertambah. Jika prestasi terus meningkat, kami akan pertingkatkan keupayaan mereka kepada peringkat yang lebih tinggi dan seterusnya.

Selepas tiga tahun mereka terlibat dalam bidang ini, kami akan bantu dan bangunkan mereka menjadi pemilik ladang solar pula.

Mereka yang terlibat dalam perniagaan ini akan memperoleh hasil pendapatan yang tetap setiap bulan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB). Ia bermakna perniagaan ini tiada NPL (pinjaman tidak berbayar) ke­rana pembayaran (jualan tenaga boleh baharu) akan dimasukkan terus oleh TNB ke dalam akaun bank, kemudian bayaran pinjaman perniagaan akan ditolak daripadanya.

Hasil itu juga boleh digunakan untuk membayar upah pekerja, seterusnya baki bersih di dalam akaun itu adalah milik usahawan. Ini adalah ciri-ciri yang perlu ada dalam program Mara bagi menghasilkan penarafan kredit yang baik.

Berapa ramai usahawan yang terbabit dalam program ini?
Sekarang kami ada 40 orang dan mereka adalah kontraktor elektrik dan juga daripada usahawan bidang lain.

Melalui perjanjian pembelian tenaga (PPA) selama 21 tahun akan membolehkan usahawan mampu menjana pendapatan untuk jangka panjang walaupun sedikit.

Boleh datuk jelaskan perancangan terbaharu syarikat?
Kami bercadang untuk meng­eksport kemahiran dan pengalaman kami ke Indonesia dan juga Filipina. Kami perlu mencari rakan kongsi di negara ber­kenaan seperti di Filipina dan bercadang untuk membuka ladang solar di sana.

Di Indonesia pula, syarikat sudah berjaya memasuki pasaran tersebut dengan menawarkan perkhidmatan pajakan solar bersama syarikat swasta dan ia masih dalam fasa kecil-kecilan lagi. Kami telah memasang panel solar di bumbung hospital dan juga di kilang.

Selain itu, syarikat juga telah menyertai bidaan projek ladang solar di Bidor, Perak dan juga di Bukit Kayu Hitam, Kedah bagi projek penjanaan tenaga boleh baharu sehingga 30 megawatt dengan nilai masing-masing RM100 juta.

Kami juga sedang membuat perancangan rapi untuk disenaraikan di Bursa Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN